OLEH NORSUHAILA IBRAHIM

kelinik3klinik3

                                                                                                                                                                                 Bagi yang suka memerhatikan papan tanda, papan nama kedai atau papan nama premis semasa memandu atau menaiki kenderaan, pasti akan dapat melihat pelbagai nama tempat, kedai atau premis yang ditulis pada papan tanda.

Dalam hal ini, ada juga bahasa yang digunakan pada papan tanda atau papan nama premis sebenarnya tidak tepat, terutamanya dari segi ejaan. Terdapat beberapa kesalahan ejaan yang ditemukan, antaranya penggunaan nama “Kelinik” atau “Klinik” seperti gambar di bawah. Antara ejaan kelinik dengan klinik itu, ejaan manakah yang sepatutnya digunakan?

Kedua-dua papan nama premis di atas ini menggunakan ejaan yang tidak sama untuk tempat yang sama. Kadangkala, kedua-dua papan tanda atau papan nama premis itu didirikan di kawasan yang berhampiran. Hal ini tentulah akan mengelirukan, khususnya dari segi penggunaan bahasa yang betul dalam kalangan pelajar sekolah dan orang awam.

Antara dua ejaan tersebut, kelinik dan klinik, sebenarnya hanya satu ejaan yang betul, iaitu klinik. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan klinik merujuk kepada tempat untuk memberi diagnosis dan merawat pesakit luar atau tempat yang serupa yang dianggotai oleh pakar perubatan atau pakar pembedahan yang mengkhusus akan satu atau lebih bidang. Manakala perkataan kelinik pula tidak terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.

Kesalahan yang mudah itu sepatutnya tidak terjadi sekiranya pihak yang berkenaan, terutamanya yang terlibat dalam kelulusan pemasangan, pembuatan dan pemasangan papan nama kedai atau premis sepatutnya lebih teliti dan lebih peka terhadap penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Sekiranya mereka tidak pasti sama ada ejaan yang ingin digunakan itu adalah tepat atau tidak, mereka sepatutnya merujuk dalam kamus atau boleh juga bertanyakan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang ada menyediakan Khidmat Nasihat Bahasa.

Tujuan kesalahan ejaan pada papan nama premis ini didedahkan bukanlah untuk membuka pekung mana-mana pihak, sebaliknya agar kesalahan tersebut dapat dibaiki supaya lebih persis.

Oleh hal yang demikian, semua pihak perlu memartabatkan bahasa Melayu melalui penggunaan bahasa yang betul, tepat dan indah. Ingatlah bahawa:

 

Yang kurik kundi,

            Yang merah saga;

Yang baik budi,

            Yang indah bahasa.

 

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035113
    Visit Today : 1329
    This Month : 17712
    Total Visit : 1035113
    Hits Today : 6999
    Total Hits : 4245333
    Who's Online : 2
  • Kategori