Oleh SALIM MD. ZAIN dan AIMI UMAIMAH HASHIM MUSAIMI

Acara Baca Naskhah juga bertujuan menggalakkan masyarakat membaca.

USAHA untuk menggalakkan masyarakat Malaysia supaya gemar membaca sudah dimulakan sejak tahun 1972. Usaha tersebut dinamai Gerakan Membaca yang juga merupakan salah satu projek anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pelancaran Projek Gerakan Membaca di seluruh negara kemudiannya telah dirasmikan oleh Menteri Pelajaran, YB Datuk Musa Hitam pada 28 Januari 1980 di Balai Tun Syed Nasir, DBP, Kuala Lumpur. Tujuan Projek Gerakan Membaca diadakan adalah untuk memupuk semangat dalam kalangan rakyat di negara ini. Gerakan Membaca ini merupakan “pilot project” bagi pembangunan masyarakat yang berilmu. Aktiviti utama gerakan ini dijalankan secara berperingkat-peringkat dan dilaksanakan bagi tempoh jangka pendek dan jangka panjang.

Bagi aktiviti jangka pendek, ia lebih mengutamakan usaha-usaha mengadakan persidangan, pameran buku di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, menganjurkan seminar, forum, diskusi, ceramah dan pertandingan seperti kuiz, menerbitkan karangan terbaik dalam dan luar negara, memberi penerangan dan tinjauan buku, menambah perkhidmatan perpustakaan dan menggalakkan rakyat membaca melalui media massa khususnya radio dan televisyen. Manakala, aktiviti projek jangka panjang pula meliputi kerja penyelidikan berhubung tabiat membaca, penerbitan, pengedaran dan pemasaran bahan bacaan serta mengkaji tindak balas dan perubahan sikap rakyat terhadap minat membaca.

Antara projek pertama yang dilaksanakan di bawah Gerakan Membaca ialah kaji selidik tentang tabiat dan minat membaca masyarakat Malaysia. Kaji selidik tersebut dilaksanakan oleh DBP pada tahun 1982 dengan kerjasama para akademik dari universiti tempatan dan juga perpustakaan awam dan negeri ketika itu. Projek ini juga mendapat sokongan serta dibiayai oleh Yayasan Toyota, Jepun. Pada tahun 1982, Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) yang dipengerusikan oleh Datuk Hj. Hassan Ahmad ketika itu telah memperkenalkan konsep Pesta Buku yang pertama kali diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya dengan tema “Ke Arah Masyarakat yang Membaca”.

Tumpuan utama projek Gerakan Membaca adalah di kawasan yang mempunyai peratusan keciciran yang tinggi, buta huruf dan kurang membaca seperti di kawasan desa dan kawasan pekan kecil. Sehubungan itu, Unit Gerakan Membaca telah ditubuhkan oleh DBP bagi memastikan pelaksanaan projek Gerakan Membaca berjalan dengan baik. Projek Gerakan Membaca yang diumumkan ini diharap dapat menyedarkan rakyat terhadap kepentingan membaca dan ilmu pengetahuan. Melalui projek ini juga, kerajaan berharap akan mampu membasmi masalah buta huruf dalam kalangan rakyat di negara ini.

Pada tahun 1995, Kempen Membaca dengan slogan “Mari Membaca Bersama” telah dilaksanakan sempena sambutan Bulan Membaca Kebangsaan yang diraikan pada bulan Ogos sehingga tahun 2000. Majlis tersebut dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Hj. Abdul Razak, Menteri Pendidikan pada ketika itu.

Mulai tahun 2001, program ini kemudiannya diubah ke bulan Julai bagi mengelakkan pertindihan dengan sambutan bulan kemerdekaan. Kempen ini telah dijadikan agenda tahunan dalam kalendar nasional bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang berilmu dan bermaklumat dengan menjadikan amalan membaca sebagai budaya hidup.

Pada tahun 2006 di bawah teraju Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, kempen ini diperhebat dengan pelbagai program dan aktiviti sepanjang tahun bagi memberi impak yang lebih efektif. Pelbagai institusi telah terlibat dalam menjayakan aktiviti berkaitan pembacaan dan galakan membaca yang bukan sahaja dikendalikan oleh Perpustakaan Negara Malaysia, tetapi juga perpustakaan awam negeri, kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan swasta serta institusi-institusi lain.

Pelbagai acara diadakan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat, terutama pelajar sekolah.

Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) turut menganjurkan pelbagai aktiviti menerusi Majlis Astaka Minda sempena sambutan Bulan Membaca Kebangsaan. Aktiviti ini merupakan satu usaha berterusan di bawah Program Gerakan Membaca yang bertujuan memupuk minat membaca dan menanam sikap mencintai ilmu dalam kalangan masyarakat. Antara aktiviti yang digariskan di bawah program ini adalah diskusi terbuka, forum, wacana, program baca naskhah dan sebagainya.

Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat, pangkalan data i-Baca dibina sebagai sumber maklumat kepada masyarakat Malaysia mengenai aktiviti dan program galakan membaca yang dianjurkan. Ia bagi memberi peluang kepada masyarakat umum untuk turut serta dalam aktiviti dan program berkaitan pembacaan dan galakan membaca bagi menyuburkan minat membaca dalam kalangan masyarakat.

Penganjuran yang berterusan seperti ini diharap dapat memenuhi usaha kerajaan untuk menepati tuntutan matlamat ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang maju dan kaya maklumat, dapat dilaksanakan dengan jayanya.

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013245
    Visit Today : 508
    This Month : 32590
    Total Visit : 1013245
    Hits Today : 1665
    Total Hits : 4133770
    Who's Online : 9
  • Kategori