Oleh SALIM MD. ZAIN

Bermula pada tahun 2009, Bulan Bahasa Kebangsaan menjadi acara tahunan.

SELEPAS Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dilaksanakan dari tahun 1999-2008, Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) diperkenalkan semula pada tahun 2009 oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd.Yassin semasa lawatan kerja pertama beliau ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 4 Mei 2009. Bulan Bahasa Kebangsaan diadakan sebagai satu kesinambungan usaha yang berterusan ke arah memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu sebagaimana yang termaktub dalam Fasal 152, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 Perlembagaan Persekutuan. Mulai tahun 2009 juga kerajaan telah bersetuju BBK disambut pada bulan Oktober setiap tahun dan dimasukkan ke dalam kalendar aktiviti nasional.

Bersesuaian dengan moto DBP, BBK 2009 mengangkat kembali tema “Bahasa Jiwa Bangsa” yang melambangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, berunsurkan keteguhan jati diri untuk menjiwai semangat bangsa Malaysia. Objektif utama BBK adalah untuk memupuk dan melestarikan perpaduan nasional mengikut konsep 1 Malaysia melalui bahasa kebangsaan. Konsep 1 Malaysia bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama rakyat pelbagai kaum di Malaysia. Bulan Bahasa Kebangsaan bertujuan untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia. Hal ini bagi menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan ke arah melahirkan generasi masa depan bangsa Malaysia yang berbangga dengan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar ilmu dan pembina tamadun bangsa. Melalui tema 1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara, penganjuran BBK diharapkan mampu untuk mempererat dan memperteguh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan.

Bagi merealisasikan objektif dan tujuan BBK, pelbagai aktiviti yang menyeluruh, teratur dan berterusan telah direncanakan sepanjang tahun, sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Antaranya termasuk aktiviti seperti Kenduri Bahasa, Pertandingan Bercerita dan Bijak Bahasa untuk pelajar, pertandingan kesenian pelbagai kaum, bicara tokoh/pejuang bahasa, Pertandingan Berbalas Pantun antara IPTA, Pertandingan Pidato, Khemah Bahasa, Sayembara Deklamasi Puisi, Pertandingan Eja Tulisan Jawi, Festival Teater Pendek, pementasan bangsawan dan teater serta banyak lagi.

Kemuncak sambutan BBK 2010 telah dilangsungkan pada 5 Oktober lalu di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Majlis perasmian BBK peringkat kebangsaan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Seri Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin.

Agenda untuk membina negara bangsa yang mengikut acuan sendiri dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan hanya akan tercapai dengan keupayaan dan komitmen yang padu daripada seluruh rakyat Malaysia. Justeru, BBK turut menjadi wadah untuk menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.

  1. muhammad asrak mohd osman says:

    Terima kasih atas usaha-usaha murni DBP dengan program-program yang dijalankan. Semoga rakyat seluruhnya menginsafi perkara ini demi generasi akan datang.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013723
    Visit Today : 986
    This Month : 33068
    Total Visit : 1013723
    Hits Today : 3370
    Total Hits : 4135475
    Who's Online : 12
  • Kategori