majlis perasmian Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Alias bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 oleh Dato’ Sri Alias bin Haji Ahmad, disaksikan oleh Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar (kiri) dan Datuk Haji Abdul Adzis Abas.

Oleh NORAZLINDA MISRAN

BULAN BAHASA KEBANGSAAN (BBK) merupakan kempen kesedaran terhadap bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pemersatu. BBK yang dimulakan sejak tahun 1960-an, menjadi acara tahunan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang mendapat sokongan penuh kerajaan Malaysia.

Sehubungan dengan  itu, majlis pelancaran BBK Peringkat Kebangsaan telah berlangsung pada 2 Oktober 2017 (Isnin) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka yang disempurnakan oleh Dato’ Sri Alias bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia,  wakil Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Yang turut hadir ialah Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya yang disambut sepanjang bulan Oktober hingga November, BBK pada tahun ini disambut sepanjang bulan Oktober dengan pelbagai program dan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan di seluruh negara. Maka bulan Oktober “diangkat” sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 dengan tema “Bahasa Jiwa Bangsa”.

YBhg. Dato’ Sri Alias bin Haji Ahmad turut melawat pameran Bulan Bahasa Kebangsaan.

Dato’ Sri Alias melawat pameran Bulan Bahasa Kebangsaan.

Bertepatan dengan tema tersebut, bahasa kebangsaan menjadi wahana pemersatu rakyat pelbagai kaum di Malaysia. Sejajar dengan hasrat dan gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia, BBK boleh dijadikan penanda aras kepada generasi muda yang akan mewarisi dan mewarnai agenda perpaduan negara kita dengan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi utama rakyat Malaysia.

YBhg. Dato’ Sri Alias bin Haji Ahmad ketika menyampaikan ucapan perasmin dalam majlis Pelancaran BBK 2017.

Dato’ Sri Alias ketika menyampaikan ucapan perasmian.

“Dalam menempuh masa depan yang kian mencabar dengan teknologi media baharu, saya berharap pemimpin dan masyarakat sentiasa peka dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul, tepat dan berhemah, baik dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Amalan dan penggunaan bahasa kebangsaan perlulah seiring dengan perubahan semasa agar mampu menjadi tonggak kelestarian dan pembinaan jati diri tamadun bangsa dan negara,” ucap Dato’ Sri Alias  ketika merasmikan BBK 2017.

Menurut beliau lagi, amat wajar BBK diraikan oleh semua kaum tanpa mengira latar belakang dan perbezaan agama kerana bahasa kebangsaan milik semua rakyat Malaysia, warganegara yang merdeka serta bermaruah.

“Kita seharusnya bersyukur kerana barisan kepimpinan negara begitu komited dan mengambil berat tentang usaha pemartabatan bahasa kebangsaan. Perkara ini dibuktikan melalui inti pati Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016 – 2025 Kementerian Pendidikan Malaysia yang turut mengambil kira resolusi Kongres Budaya 2017. Menerusi resolusi tersebut, Perdana Menteri sendiri telah mencadangkan pemerkasaan dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kalangan murid pelbagai kaum yang menjadi asas pembudayaan sebenar elemen pembentukan negara bangsa,” jelasnya lagi.

Datuk Haji Abdul Adzis Abas, Ketua Pengarah DBP ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Datuk Haji Abdul Adzis Abas, Ketua Pengarah DBP.

Seterusnya, Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abdul Adzis Abas ketika menyampaikan ucapan alu-aluan menyatakan bahawa antara agenda utama DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah membentuk sikap positif semua golongan terhadap bahasa kebangsaan dan peluasan penggunaannya dalam semua sektor dengan mutu bahasa yang baik.

Acara lafaz ikrar.

Acara lafaz ikrar.

Pada tahun ini pemberian Anugerah BBK diperluas kepada institusi yang memberikan komitmen dan sokongan padu serta menunjukkan usaha yang berterusan dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu. Tiga kategori anugerah diperkenalkan, iaitu sektor awam, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan. Institusi yang menerima anugerah ini ialah Bank Negara Malaysia, IKEA Malaysia dan Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF).

Penerima Anugerah BBK 2017.

Penerima Anugerah BBK 2017.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014550
    Visit Today : 579
    This Month : 33895
    Total Visit : 1014550
    Hits Today : 2284
    Total Hits : 4139086
    Who's Online : 18
  • Kategori