Oleh NAZA SANI AGUS

Para peserta bergambar ramai setelah majlis usai.

Para peserta kursus dan urus setia bergambar ramai setelah majlis usai.

MEMBUKA tirai bulan September 2017, Kursus Penulisan Kreatif Puisi Moden telah diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPGKPI) hasil kerjasama Jabatan Pengajian Melayu IPGKPI, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pewira). Kursus ini diadakan pada 11 September 2017.

Seramai 30 orang pensyarah daripada pelbagai jabatan dan staf pengurusan IPGKPI terlibat dalam kursus yang dibimbing oleh Dato’ Rahman Shaari, Ketua 1 Pewira.

Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk mempertingkat kemahiran dan pengetahuan para peserta dalam merangka dan menulis puisi. Oleh itu peserta diharapkan dapat menggunakan pengalaman dan pengetahuan yang ditimba untuk berkarya dengan lebih baik.

Kursus ini juga diadakan sebagai salah satu usaha bagi menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dalam kalangan pensyarah dan staf pengurusan.  Hal ini sekali gus menjadikan bahasa Melayu sebagai wadah pengungkapan buah fikiran dan ilmu pengetahuan yang berkesan.

Menurut Dato’ Rahman, semua orang berbakat dalam bidang penulisan cuma  perlu ditambah dengan ilmu yang diperoleh dalam kursus supaya lebih cemerlang.

Pembimbing kursus turut menekankan fakta tingkat kekomunikatifan (TK) dalam berkarya.  Menurutnya, ada lima TK dalam penulisan sajak.  Tingkat 5 ialah tingkat yang paling rendah dan karya mudah difahami. Sementara tingkat 1 kedudukan hierarki yang paling tinggi yang menunjukkan kualiti puisi yang tinggi.

Majlis penutupan bengkel.

Majlis penutupan kursus.

Aspek lain yang penting diberikan perhatian dalam penghasilan puisi moden ialah mixed imagery.  Hal ini dikategorikan sebagai tingkat estetika dalam penulisan puisi moden.  Mixed imagery penting untuk menunjukkan daya intelektual penulis puisi.  Sebagai contoh baris diksi yang berikut:

     Kolam hatiku terbakar

Menurut pembimbing, baris puisi tersebut tidak melambangkan sesuatu yang indah.  Hal ini demikian kerana diksi kolam itu sifatnya berisi air.  Secara tersurat, bagaimana air boleh terbakar. Air sifatnya bukan membakar tetapi menyejukkan.  Andai diubah seperti yang berikut, maka bait puisi tersebut menjadi indah dan lebih bermakna:

     Belantara hatiku terbakar

Menerusi bait-bait puisi, khalayak dapat mengenali penyair yang berilmu dan berjiwa.  Kreativiti yang diiringi dengan keinginan memahami istilah-istilah merupakan perjuangan menambah ilmu pengetahuan.

Dalam ucapan penutupan,  Tuan Haji Shariffulizan bin Malek, Pengarah DBP Wilayah Tengah berkata, dengan menulis tanpa henti, masalah kekurangan idea dapat diatasi.  Ilmu yang dipraktikkan tidak akan berkarat.  Hal ini selari dengan pepatah Arab yang menyatakan, ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah.

Menurut beliau lagi, usaha memartabatkan bahasa dan sastera Melayu merupakan usaha bersama-sama semua warga Malaysia, bukan DBP sahaja. Tambah beliau lagi, menulis puisi boleh mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa akademik dan bahasa ilmu agar menjadi bahasa utama dunia suatu hari nanti. Beliau turut menyeru semua peserta kursus agar berusaha menyiapkan karya masing-masing untuk dinilai dan diterbitkan.

Secara keseluruhan semua peserta kursus berpuas hati dengan bimbingan dan ilmu yang diperoleh dan bertekad untuk mempertajam daya kreatif masing-masing dalam jagat penulisan.

Dato' Rahman Shaari (tiga dari kanan) dan Tuan Haji Sharifullizan (dua dari kanan) bergambar bersama-sama urus setia bengkel.

Dato’ Rahman Shaari (tiga dari kanan) dan Tuan Haji Shariffulizan (dua dari kanan) bergambar bersama-sama urus setia kursus.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036140
    Visit Today : 918
    This Month : 18739
    Total Visit : 1036140
    Hits Today : 3505
    Total Hits : 4249595
    Who's Online : 21
  • Kategori