Oleh NORAZLINDA MISRAN

DEMI menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini, Majlis Profesor Negara (MPN) telah menganjurkan program Sambutan Hari Malaysia 2017 bertempat di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 13 September 2017.

Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk menghubungkan para ilmuwan dengan lapisan masyarakat terutamanya dalam meningkatkan dan menyebarluaskan semangat patriotisme dalam diri masyarakat. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk melahirkan generasi pelapis yang mempunyai tanggungjawab serta cinta terhadap keamanan negara sekali gus menghimpunkan pewaris negara bagi menanam semangat Sehati Sejiwa, Negaraku Malaysia.

Program yang dianjurkan ini terbahagi kepada dua segmen, iaitu “Wacana Ilmuwan, Negaraku Malaysia: Di mana, Ke Mana Kita?” dan “Malam Laungan Rasa Sehati Sejiwa”. Program ilmu, dialog dan persembahan puisi kebangsaan ini adalah bersempena meraikan Sambutan Hari Malaysia.

Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Timbalan Pengerusi MPN turut mendeklamasikan puisi pada malam tersebut.

Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Timbalan Pengerusi MPN turut mendeklamasikan puisi pada malam tersebut.

Segmen Wacana Ilmuwan merupakan sebuah program berbentuk dialog dan perbincangan yang melibatkan para ilmuwan, pelajar universiti awam, pendidik dan pegawai kerajaan. Ahli panel yang diundang dalam wacana ini ialah Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Timbalan Pengerusi MPN, Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong (Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya MPN), Prof. Dr. Sivamurugan Pandian (Setiausaha Kluster Perpaduan Nasional MPN), Prof. Madya Dr. Awang Asri Awang Ibrahim (Universiti Malaysia Sabah), Prof. Madya Dr. Madeline Berma (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Prof. Madya Dr. Sarjit Singh Darshan Singh (UPM).

Segmen “Malam Laungan Rasa Sehati Sejiwa” merupakan acara kemuncak program ini yang bermula pada jam 8.30 malam hingga 12.00 malam di lokasi yang sama. Program berbentuk deklamasi puisi ini menampilkan penglibatan Sasterawan Negara, tokoh kemerdekaan, pemimpin tertinggi kerajaan, juara pendeklamasi puisi Hari Kebangsaan dan para profesor untuk melontarkan gubahan puisi patriotisme.

Antara kenamaan yang turut mendeklamasikan puisi pada malam tersebut ialah Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Yussof Latiff (tokoh kemerdekaan negara),  Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris (Naib Canselor UPM), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose (Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif MPN), Dr. Lim Swee Tin dan Dr. Raja Rajeswari.

Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi turut mendeklamasikan puisi pada malam Laungan Rasa Sehati Sejiwa.

Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi turut mendeklamasikan puisi pada malam Laungan Rasa Sehati Sejiwa.

Selain itu, malam gema patriotisme ini turut dihangatkan dengan kehadiran tamu kehormat Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi dan kemunculan artis ternama tanah air, Ning Baizura yang menyemarakkan lagi nyalaan obor patriotisme.

Malam kemuncak ini turut dimeriahkan dengan tarian perang oleh pelajar-pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, persembahan lagu patriotik dan tarian patriotisme.

MPN melihat penganjuran malam puisi ini sebagai platform terbaik kepada barisan pemimpin negara, tokoh akademik dan penggiat sastera untuk menghargai puisi dan memupuk rakyat Malaysia khususnya generasi muda untuk memelihara nikmat keamanan melalui pembentukan Malaysia.

Program yang julung kali dianjurkan oleh MPN ini melibatkan kerjasama strategik Dewan Bahasa dan Pustaka, UPM, Utusan Malaysia, Universiti Limkokwing dan Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (PEWIRA).

Peserta dan penganjur Malam Laungan Rasa Sehati Sejiwa bergambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.

Peserta dan penganjur Malam Laungan Rasa Sehati Sejiwa bergambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013755
    Visit Today : 1018
    This Month : 33100
    Total Visit : 1013755
    Hits Today : 3501
    Total Hits : 4135606
    Who's Online : 5
  • Kategori