Oleh SUZANTI ABD. AZIZ

Pengenalan

PERKARA 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971) dan Pemberitahu Undang-undang No. 410 Tahun 1967, memperuntukkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini yang digunakan untuk tujuan rasmi. Peruntukan ini adalah seperti yang berikut:

(6)        “Dalam perkara ini “maksud rasmi” ertinya apa-apa jua maksud kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.”

Peruntukan ini amat penting bagi melaksanakan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang urusan rasmi negara. Antaranya bidang pendidikan, pentadbiran, perundangan dan penyiaran. Oleh yang demikian, bidang penyiaran tidak terkecuali dalam hal pematuhan peruntukan ini.

Media penyiaran berperanan sebagai alat komunikasi yang berkesan dan amat berpengaruh di dalam masyarakat. Oleh itu, media penyiaran merupakan institusi sosial yang penting. Institusi tersebut merupakan kuasa yang mampu menghasilkan dan menyebarkan makna sosial. Hal ini bermaksud, media penyiaran berupaya menentukan corak pemahaman dan seterusnya hala pemikiran khalayak sasarannya tentang sesuatu yang disampaikan, khususnya melalui bahasa.

Menyedari senario penggunaan bahasa Melayu yang tidak memuaskan dalam media penyiaran, mantan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, dalam ucaptama di Seminar Penggunaan Bahasa Melayu dalam Sektor Awam dan Swasta, pada 27 Oktober 2009 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), menyatakan bahawa:

“Tentu sekali semua stesen radio dan TV akan dipinta menyertai olahan dan kempen memurnikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menerusi bahagian tersebut (Bahagian Pembudayaan Bahasa Melayu). Tentunya DBP, Kementerian Pelajaran, universiti, kolej dan pihak-pihak lain akan dilibatkan dalam kerjasama ulung ini.”

Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan memandang serius kepentingan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam bidang penyiaran. Usaha kerajaan ini akan dapat membantu memartabatkan dan mengangkat citra bahasa Melayu di dalam dan di luar negara.

Senario Permasalahan

Penggunaan bahasa Melayu dalam radio telah diperkatakan sejak lama dahulu. Dalam kertas kerja Encik Dol Ramli yang bertajuk “Bahasa Melayu dalam Lapangan Radio” yang disampaikan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu 1 di Singapura pada 12–13 April 1952, beliau berpendapat bahawa Radio Malaya (ketika itu) tidak dapat memenuhi tugasnya dengan sempurna sebagai alat perkembangan bahasa Melayu kerana masih menjadi alat penjajah.

Program terbaharu memartabatkan bahasa kebangsaan dalam media penyiaran oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 2015 membuktikan bahawa kerajaan memandang serius bagi memastikan bahasa Melayu sentiasa berada pada kedudukan yang sepatutnya. Program ini telah menarik minat badan penyiaran, antaranya Astro, Media Prima, Star Radio Group, Cats FM, Manis FM dan Bernama Radio 24. Sebelum ini, beberapa usaha telah dilakukan oleh SKMM dan DBP serta badan-badan lain termasuk Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) untuk meningkatkan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam media penyiaran.

Namun, pelaksanaannya sehingga kini masih berada pada tahap yang tidak memuaskan. Berlaku kecelaruan bahasa, penggunaan bahasa slanga, campur aduk bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan tuntutan komersial sesetengah stesen radio. Hal ini menyebabkan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai program televisyen dan radio berada pada tahap yang rendah.

Tinjauan Kepustakaan

Sehingga kini, tiada kajian yang khusus dijalankan di Malaysia untuk melihat tahap penggunaan bahasa Melayu dalam media penyiaran. Pada tahun 1980, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia yang dipengerusikan oleh Prof. Dato’ Dr. Awang Had Salleh dan dianggotai oleh pakar-pakar dalam pelbagai sektor bagi meninjau pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu di seluruh negara dan mencari jalan untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Dalam Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia dalam Sektor Media Am (1980), khususnya terhadap beberapa rancangan Radio dan Televisyen Malaysia, didapati bahawa penggunaan bahasa Melayu tidak memuaskan, terutamanya daripada aspek tatabahasa dan peristilahan. Selain itu, penyampai kurang mahir menguasai bahasa Melayu. Manakala menurut Encik Zainuri Misfar, dalam ruangannya Fragmen (Berita Harian, 24 Mac 2010) juruhebah atau penyampai radio swasta tidak mempunyai disiplin berbahasa sehingga penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris menjadi biasa kepada para pendengar.

Metodologi dan Instrumen Kajian

Kajian ini menggunakan teknik analisis kandungan untuk meneliti kualiti penggunaan bahasa Melayu dalam rancangan radio yang terpilih. Teknik pensampelan gugusan pula digunakan dalam membuat pemilihan saluran dan rancangan tertentu yang mengutamakan bahasa Melayu dalam radio. Sebanyak 20 buah stesen radio dipilih dan dibahagikan kepada dua sektor, iaitu stesen radio awam dan stesen radio swasta yang merangkumi tujuh zon di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Sumber data kajian ialah rancangan radio yang dipilih dan dirakam mengikut domain yang telah ditetapkan. Sehubungan dengan hal itu, rancangan radio dikelompokkan kepada lima domain utama, iaitu berita, bual bicara, ceramah, bicara santai dan informasi. Sebanyak 205 rancangan radio di 20 buah stesen radio awam dan swasta yang dikumpulkan dan dirakamkan ini ditranskripsikan oleh petugas dalaman. Setiap petugas perlu melakukan transkripsi selama lima minit bagi setiap rancangan (tidak termasuk iklan), iaitu antara 250 hingga 300 patah perkataan. Berdasarkan transkripsi tersebut, petugas melakukan analisis kandungan untuk mengenal pasti dan merekodkan jenis-jenis kesalahan morfologi dalam borang analisis.

Dapatan Kajian dan Perbincangan

Sebanyak 13 buah stesen radio awam dan tujuh buah stesen radio swasta telah dipilih untuk dijadikan instrumen kajian. Jadual 1 menunjukkan jumlah sampel rakaman rancangan mengikut sektor radio manakala Rajah 1 pula menunjukkan jumlah rancangan mengikut domain daripada sejumlah 205 rancangan yang diteliti dalam kajian ini.

Sektor Radio Jumlah Rancangan
Awam 163
Swasta 42
Jumlah 205

Jadual 1 Jumlah sampel rakaman rancangan mengikut sektor.

 RAJAH 1Rajah 1 Bilangan rancangan mengikut domain rancangan.

 

Kesalahan Morfologi Mengikut Domain Rancangan

Secara keseluruhan, Rajah 2 menunjukkan sebanyak 1984 kesalahan yang merangkumi pelbagai domain rancangan. Domain bicara santai, bual bicara dan ceramah didapati melakukan kesalahan yang paling banyak, iaitu 573,543 dan 398 kesalahan berbanding dengan domain yang lain, iaitu informasi dan berita iaitu 321 dan 149 kesalahan. Dalam tempoh lima minit bersiaran, didapati purata kekerapan kesalahan bagi domain bual bicara adalah yang tertinggi, iaitu 14 kesalahan, diikuti ceramah 11 kesalahan, manakala bicara santai pula 10 kesalahan. Bagi domain informasi, kekerapan kesalahan morfologi tujuh kesalahan, manakala domain berita pula paling sedikit, iaitu hanya lima kesalahan sahaja. Berita dikawal oleh skrip, jadi kesalahannya dapat diminimumkan berbanding dengan domain-domain lain kerana sifat spontan rancangan berkenaan.

        RAJAH 2

Rajah 2 Bilangan kesalahan aspek morfologi mengikut domain rancangan.

 

Kesalahan Morfologi Mengikut Zon

Secara keseluruhan, daripada 1984 kesalahan pelbagai domain rancangan, Rajah 3 menunjukkan sebahagian besar kesalahan ini dilakukan oleh penyampai radio zon tengah dengan 831 kesalahan, zon timur 316 kesalahan dan zon nasional 279 kesalahan. Manakala zon selatan, utara, Sarawak dan Sabah masing-masing mencatatkan 241, 163, 91 dan 63 kesalahan. Dalam tempoh lima minit bersiaran, penyampai zon tengah melakukan kesalahan lebih kerap, iaitu 13 kesalahan, diikuti oleh penyampai zon nasional dan timur, masing-masing sembilan kesalahan, begitu juga zon selatan dan Sarawak masing-masing lapan kesalahan, manakala yang paling sedikit ialah zon utara tujuh kesalahan. Penemuan ini menunjukkan bahawa perhatian perlu diberikan kepada penyampai radio zon-zon tertentu supaya kesalahan penggunaan bahasa Melayu dalam aspek morfologi dapat dikurangkan ke tahap yang sebaik mungkin.

 RAJAH 3

Rajah 3 Kesalahan aspek morfologi mengikut zon

 

Kesalahan Morfologi Mengikut Sektor

Daripada 1984 kesalahan morfologi secara keseluruhan, sektor awam mencatatkan kesalahan yang paling tinggi, iaitu sebanyak 1533 kesalahan berbanding dengan sektor swasta hanya 451 kesalahan. Walau bagaimanapun, analisis secara purata kesalahan menunjukkan perbezaan kecil antara stesen radio awam dengan swasta. Perbandingan berasaskan purata kekerapan kesalahan penyampai radio swasta 11 kesalahan berbanding dengan penyampai radio awam sembilan kesalahan. Dapatan ini tidaklah menggambarkan bahawa stesen radio awam lebih baik pencapaiannya dari segi kesalahan bahasa dalam aspek morfologi berbanding dengan sektor swasta. Sebaliknya, kedua-dua penyampai radio sektor awam mahupun swasta perlu dikawal supaya kesalahan morfologi sewaktu bersiaran di radio dapat diminimumkan ke tahap terendah.

RAJAH 4

Rajah 4 Kesalahan aspek morfologi mengikut sektor.

 

Contoh Kesalahan Morfologi

Daripada 12 kategori kesalahan morfologi dan sebanyak 1984 jumlah keseluruhan kesalahan, analisis terhadap 205 rakaman mendapati bahawa terdapat empat kesalahan yang menunjukkan peratusan tertinggi, iaitu melebihi 50% (Jadual 2) seperti yang berikut:

1. Penggunaan morfologi seakan-akan sama bentuknya tetapi berbeza makna. (62.4%

2. Penggunaan imbuhan awalan, akhiran, sisipan dan apitan. (51.2%)

3. Percampuran bahasa. (51.2%)

4. Penggunaan morfologi sendi nama. (50.2%)

Jadual 2-2

Jadual 2 Contoh-contoh kesalahan morfologi penyampai radio.

Kesimpulan

Berdasarkan dapatan kajian, beberapa perkara dapat dijadikan kesimpulan. Pertama, tahap penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pengamal media terutamanya penyampai radio dalam aspek morfologi berada pada tahap yang sederhana. Kedua, kekeliruan penggunaan kata yang memberikan makna yang berbeza walaupun seakan-akan sama bentuknya, pemilihan kata sendi nama dan percampuran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu memperlihatkan kesalahan morfologi yang paling banyak dilakukan oleh penyampai radio. Ketiga, pengamal media kurang prihatin semasa mengendalikan sesuatu rancangan, terutamanya gemar mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

 Rujukan

Awang Had Salleh et al. (1993). Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2011). Laporan Kajian Tahap Penggunaan Bahasa Melayu dalam Media Penyiaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2014). Laporan Kajian Sikap Generasi Muda Terhadap Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dol Ramli. (1956). Bahasa Melayu dalam Lapangan Radio. dlm Abdullah Hassan. (2007). Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu I – VI (1952 – 2002). Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.

Zainuri Misfar. (2010). Bahasa Melayu di Radio dan Wajib Siar yang Kelabu. Segmen Fragmen, Berita Harian, 24 Mac 2010. Kuala Lumpur: Berita Harian Sdn. Bhd.

Zubaidi Abas. (2011). Apalah Makna Bahasa Kebangsaan Jika Tidak Bermartabat. 12 Mac 2011, daripada http://zubaidiabas.blogspot.my/2011/03/apalah-makna-bahasa-kebangsaan-jika.html

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036207
    Visit Today : 985
    This Month : 18806
    Total Visit : 1036207
    Hits Today : 3734
    Total Hits : 4249824
    Who's Online : 12
  • Kategori