Oleh NAZA SANI AGUS

BUAT  julung kalinya, Festival Citra Siswa 2017 telah berlangsung pada 12-13 Ogos 2017, di Dewan Serba Guna Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar, Tronoh, Perak. Festival ini dianjurkan oleh UTP dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Warisan Negara.  Sebagai tuan rumah, UTP telah mengelolakan Pertandingan Penyampaian Syair dan Pertandingan Teater Pendek 10 Minit Peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Persembahan peserta penyampaian syair.

Peserta sedang menyampaikan syair.

Sebanyak enam buah IPT telah menyertai Pertandingan Teater Pendek 10 Minit, iaitu UTP, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPG KPI), Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPG KBM)  dan Kolej Polytech Mara, Kuantan, Pahang.  Sementara itu, bagi Pertandingan Penyampaian Syair pula, sebanyak sembilan orang peserta IPT telah mengambil bahagian, iaitu daripada UTP, IPG KPI, IPG KBM, Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman (IPG KDA), dan Kolej Polytech Mara.

Festival Citra Siswa diadakan dengan objektif untuk menyediakan platform serta peluang kepada para pelajar IPT bagi mengasah dan menonjolkan bakat dalam bidang kesenian teater dan puisi tradisional. Melaluinya juga mahasiswa akan menghargai estetika seni persembahan. Menurut Muhamad Haziq Yussof, pengarah festival, UTP akan meluaskan ruang pertandingan pada masa hadapan kepada genre puisi tradisional yang lain.

Peserta pertandingan teater sedang beraksi.

Peserta pertandingan teater sedang beraksi.

Majlis penutupan Festival Citra Siswa telah disempurnakan oleh Haji Talhah Hasan, Pengurus Kanan, Jabatan Perkhidmatan Sokongan Pelajar, UTP, Encik Sharrul Rizal Hashim, Perancang Bahasa Kanan, DBP dan Haji Mesran Mohd Yusop, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Warisan Negara.

Penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan penyampaian syair.

Haji Talhah (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Penyampaian Syair.

Dalam ucapannya, Haji Mesran melahirkan rasa bangga dan gembira atas penyertaan yang menggalakkan mahasiswa seluruh negara dalam pertandingan penympaian syair dan teater pendek.  Beliau berharap agar mereka tidak mensia-siakan peluang yang disediakan oleh UTP dan IPT lain pada masa akan datang.

Haji Talhah pula dalam ucapannya menyatakan bahawa iltizam mahasiswa UTP menyegarkan semula puisi tradisional dalam kalangan generasi muda wajar dipuji.  Beliau mengaku baru tahu bahawa syair itu ada sembilan irama, seperti selendang delima, narasi, dandan setia dan perindu.  Oleh itu menerusi usaha seperti ini, mahasiswa dapat mempelajari ilmu baharu di samping mencungkil bakat yang terpendam.

Pertandingan Penyampaian Syair dimenangi oleh Idayu Natasha Mahadzir, daripada IPG KBM, Nur Izzaidah daripada IPG KPI tempat kedua, Muhammad Shafiq Hafizuddin Md Fadil, daripada IPG KBM tempat ketiga dan Intan Suhaili daripada IPG KPI tempat keempat.  Johan pertandingan ini membawa pulang piala iringan, wang tunai RM1000, manakala naib johan mendapat piala iringan dan RM800, sementara tempat ketiga mendapat RM500 dan RM300 bagi tempat keempat.

Antara khalayak yang menyaksikan Festival Citra Siswa.

Antara khalayak yang menyaksikan Festival Citra Siswa 2017.

Bagi Pertandingan Teater Pendek 10 minit, juara ialah kumpulan teater dari USM. Naib juara disandang oleh Kumpulan Segara Gunung dari IPG KPI dan tempat ketiga Kumpulan Geliga Patriots dari IPG KBM.  Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Haji Talhah.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035446
    Visit Today : 224
    This Month : 18045
    Total Visit : 1035446
    Hits Today : 1486
    Total Hits : 4247576
    Who's Online : 6
  • Kategori