Oleh SURAIDAH AMBOK MANGKEK

DEWAN BAHASA dan Pustaka Wilayah Tengah menganjurkan Forum Penulis Muda 2017 pada 25 Julai yang lalu di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA), Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Forum ini dianjurkan bersama-sama IPGKBA dan Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) bagi melihat keupayaan sistem pendidikan dalam usaha untuk merealisasikan aspirasi kerajaan melalui Transformasi Nasional 50 (TN50) bagi melahirkan generasi yang membentuk negara ke arah yang lebih disegani di persada antarabangsa pada tiga dekad akan datang.

Datuk Zainal Abidin Borhan (GAPENA) turut membincagkan tajuk “Pendidikan Tonggak Transformasi Negara”.

Barisan ahli panel yang membincangkan tajuk “Pendidikan Tonggak Transformasi Negara”.

Barisan ahli panel terdiri daripada Datuk Zainal Abidin Borhan (GAPENA), Raimi Abdul Rahim (ABIM) dan Ahmad Shukri Adnan (Jabatan Perdana Menteri). Mereka membincangkan tajuk “Pendidikan Tonggak Transformasi Negara”.

Antara peserta yang hadir dalam Forum Penulis Muda.

Antara khalayak yang menghadiri Forum Penulis Muda.

Aspirasi TN50 agak luas dan kerajaan menunjukkan kesungguhan untuk merealisasikan aspirasi tersebut. Apabila melihat agenda yang dicanangkan dalam TN50, sejauh mana masa depan itu dijanjikan kepada masyarakat? Inilah yang ditanyakan oleh moderator, Dr. Mohd. Ghazali Taib kepada Zainal Abidin.

Menurut Zainal Abidin, apabila seseorang pendidik yang sudah melangkah ke dalam dunia pendidikan, pada awalnya mereka harus faham apa-apa yang terkandung dalam falsafah pendidikan. Dengan merujuk falsafah pendidikan secara umumnya, seseorang pendidik harus faham bahawa mereka berperanan untuk membentuk insan secara holistik dari segi spiritual, mental, fizikal, intelektual dan sebagainya. Sekiranya dapat dibentuk insan seperti yang dikatakan itu, masalah transformasi tidak akan timbul kerana masyarakat telah dibentuk.

“Kita seharusnya memikirkan Wawasan 2020 terlebih dahulu, barulah melihat TN50 kerana TN50 dilihat lebih liberal, lebih rakyat, dan lebih mendekati generasi muda. Seseorang pemimpin perlu melihat keadaan masyarakat secara holistik, perlu merangka cara masyarakat dan negara yang dibentuk. Sebelum melangkah ke arah TN50, perlu dilihat sama ada masyarakat sudah mencapai apa-apa yang terkandung dalam Rukun Negara,” kata Zainal Abidin.

Tegasnya lagi, usaha untuk membentuk masyarakat dan negara yang diinginkan sebelum ini melalui gagasan yang telah dibentuk terbengkalai. Hal ini berlaku kerana isu gejala sosial dalam kalangan generasi muda masih berleluasa, isu rasuah dan isu pelacuran di ibu kota sering terpapar di dada akhbar. Hal ini merupakan krisis budaya yang besar. Oleh itu, sebelum melonjak ke arah transformasi, kita perlu melihat dan menilai pencapaian.

“Apabila melihat kepada TN50, dijangkakan bahawa golongan belia mampu untuk menguasai kepelbagaian ilmu yang sepatutnya dan membawa negara ke peringkat yang lebih diharapkan sebagai negara futuristik. Adakah kesediaan itu benar-benar sudah boleh diterapkan pada hari ini atau terlalu jauh langkah dan senario untuk belia Malaysia?” tanya moderator yang juga merupakan Ketua Satu KALAM.

Untuk menjawab soalan itu, Raimi mengatakan bahawa TN50 merupakan persiapan minda generasi muda serta persiapan infrastruktur modal insan Malaysia sebagai negara dalam konteks mendepani semangat dan cabaran pada masa akan datang. Hal ini merupakan aspirasi yang cuba untuk mengunjurkan situasi dan keadaan global di negara kita pada tahun 2050. Antara amalan yang perlu dilihat termasuklah perkembangan industri di peringkat global.

Peserta begitu teruja mendengar forum yang diadakan dalam Forum Penulis Muda.

Khalayak teruja mengikuti forum yang diadakan.

Tambah Raimi lagi, terdapat andaian yang mengatakan bahawa masa hadapan telah berada pada hari ini. “Pemilik rangkaian teksi terbesar di dunia tidak memiliki sebuah teksi pun. Tambahan lagi, wujud pula rangkaian Uber dan Grab Car. Pemilik rangkaian sosial terbesar, iaitu Facebook, tidak memiliki satu kandungan pun; yang memberikan kandungan ialah pengguna. Lihat pula pemilik rangkaian penawaran perumahan dan perhotelan; dia tidak memiliki sebuah hotel dan rumah pun. Tetapi mereka ini telah mendirikan platform. Jadi diandaikan bahawa pada masa hadapan, kita tidak memerlukan sekolah pun. Kita hanya memerlukan platform. Pemikiran sudah sampai di situ. Inilah yang dimaksudkan dengan aliran yang telah berlaku dan pada tahun 2050, pastinya hal ini lagi rencam lagi.”

Presiden ABIM itu menambah, “Aliran kini ialah sesuatu yang diminati oleh generasi muda. Generasi muda pada hari ini bercakap dengan menggunakan kabilah. Mereka bercakap tentang kabilah sosial, ground square; mereka bercakap tentang gelombang sosial media. Inilah amalan yang saya fikir menjadi aspirasi yang diambil daripada generasi muda.”

Raimi melihat TN50 sebagai platform yang terbaik untuk mengolah masa hadapan. Jika tidak dilakukan, negara akan ketinggalan. Pada pendapatnya, platform ini memperlihatkan cara modal insan mengubah teknologi untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan. Walau betapa hebat pun cabaran dalam konteks persiapan ekonomi dan teknologi, yang penting ialah sistem pendidikanlah yang mencorakkan generasi modal insan ke arah 2050.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa apabila media sosial diguna pakai oleh generasi muda dan menjadi platform meluahkan perasaan, idea dan pandangan, hal ini diambil oleh kerajaan sebagai aspirasi. Gelombang sosial media ini menjadi platform yang positif untuk membawa pemikiran yang baharu kepada pembentukan negara.

“Apabila melihat aliran yang berlaku dalam dunia hari ini, perubahan tuntutan globalisasi menyebabkan Malaysia seolah-olah mengikut aliran yang ada. Hal ini dikatakan demikian kerana kita terpaksa mengorbankan semangat, jati diri, keperluan atau budaya yang ada pada negara itu sendiri. Adakah hal ini boleh mencacatkan hasrat TN50 dengan mengetepikan keperluan yang ada dalam masyarakat?” soal moderator kepada Ahmad Shukri.

Haji Shariffulizan Malek, Pengarah DBP Wilayah Tengah menyampaikan cenderamata kepada Datuk Zainal Abidin Borhan.

Haji Shariffulizan Malek, Pengarah DBP Wilayah Tengah menyampaikan cenderamata kepada Datuk Zainal Abidin Borhan.

Jelas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penjanaan Modal Insan, Jabatan Perdana Menteri itu, untuk berubah, maka situasi persekitaran berubah. Dunia berubah, zaman berubah, maka kita harus seiring dengan perubahan tersebut. Namun demikian, beliau menegaskan bahawa jati diri rakyat itu haruslah jati diri Malaysia itu sendiri. Adakah bangunan pencakar langit itu perlu sekiranya negara luar juga sebegitu? Adakah kita perlu mengikutnya? Walau bagaimanapun, dalam konteks Malaysia, khasnya, warga pendidik, terutamanya, harus memastikan jati diri tetap ada dalam diri setiap modal insan pada hari ini.

“Lihat sahaja negara kita kini sudah berada pada peringkat dunia dalam bidang sukan. Hal ini bermakna bahawa pada hari ini, orang Malaysia tidak lagi dikatakan ‘sukan kampungan’. Kita juga ingin meletakkan kedudukan itu juga di universiti dan sebagainya. Apabila bercakap mengenai jati diri, kita tidak harus mengorbankan jati diri untuk memastikan transformasi seiring dengan perubahan semasa, tetapi jati diri sebagai warganegara Malaysia itu harus kekal supaya kita dikenali, bukannya kita dikenali sebagai warga Barat dan sebagainya.”

Apabila bercakap mengenai sistem pendidikan sebagai landasan yang terbaik membentuk modal insan, masyarakat hari ini seolah-olah tidak dapat menerima perubahan yang ada. “Adakah perkara yang berlaku ini membawa keruntuhan TN50 atau adakah ilmu yang dicurahkan belum benar-benar cukup untuk menjulang pendidikan sebagai tonggak aspirasi TN50?” soal Dr. Mohd. Ghazali kepada Zainal Abidin lagi.

Jawapannya cukup ringkas. “Apakah alat itu yang mentakrif diri kita? Sebagai manusia, kita yang mentakrifkan semua ini. Kita yang mentakrifkan corak pendidikan itu. Jika ingin menghadapi 2050, adakah kementerian berkenaan sudah bersedia untuk merombak seluruh pendekatan dan dasar pendidikan? Untuk membentuk bangsa yang baik, guru mestilah orang yang terbaik. Bagi usaha untuk mencipta modal insan yang terbaik, maka pendidikanlah saluran yang terbaik. Guru yang terbaiklah yang harus ada dalam platform pendidikan sebagai saluran untuk membentuk putera puteri yang celik dan intelek menjelang tahun 2050.”

“Pendidikan seharusnya terus menjadi tonggak transformasi nasional. Segala keperluan untuk pendidikan harus dimanfaatkan dengan sebaik-baik mungkin. Maka, pendidik harus bijak berinteraksi dengan generasi muda kerana mereka memerlukan penitipan nilai, akhlak dan jati diri,” begitulah penegasan Raimi.

Ahmad Shukri pula menegaskan bahawa cabaran dunia sekarang semakin sukar. Maka cabaran itu harus diterajui dan harus didepani. Hal ini dikatakan demikian kerana cabaran itu berbeza dalam konteks hari ini. Seseorang itu harus bersedia kerana orang yang bersedia mampu untuk menjadi mercu tanda manusia yang terbaik.

Kata Zainal Abidin pula, “Untuk mencetuskan masa hadapan, kita memerlukan kerjasama. Semua pihak terlibat. Generasi mudalah yang akan mewarisi apa-apa yang telah diletakkan dalam asas yang kukuh supaya menjadi generasi yang lebih baik daripada apa-apa yang kami miliki.”

Sebagai rangkuman forum, Dr. Mohd Ghazali memetik pepatah Cina yang menyatakan bahawa “andai kita ingin akan kebahagiaan setahun, semailah benih; andai kita ingin akan kebahagiaan sepuluh tahun, tanamlah pokok; dan andai kita ingin akan kebahagiaan seratus tahun, didiklah manusia.” Oleh itu, pendidik harus memikirkan cara untuk menjadikan pendidikan sebagai aspirasi kepada pembangunan negara.

Forum dihadiri oleh remaja pelbagai kaum yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi di sekitar Kuala Lumpur. Pada penghujung majlis, Haji Shariffulizan Malek, Pengarah DBP Wilayah Tengah menyampaikan cenderamata kepada ahli panel forum.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1031947
    Visit Today : 906
    This Month : 14546
    Total Visit : 1031947
    Hits Today : 3055
    Total Hits : 4225327
    Who's Online : 12
  • Kategori