Oleh SITI ROHAIZAH SARKOM

Kumpulan Koir pada awal penubuhan 1970-an.

KUMPULAN koir Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah salah satu cabang korporat DBP yang sentiasa bersama-sama  memeriahkan setiap majlis rasmi organisasi badan berkanun ini dan juga majlis anjuran bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Bermula pada tahun 1970 sehingga tahun 1978, Kumpulan Koir DBP ditubuhkan dengan anggota seramai 20 orang, iaitu gabungan antara staf DBP dengan orang luar yang berminat untuk menyanyikan lagu-lagu Melayu. Kumpulan Koir DBP bukan sahaja membuat persembahan nyanyian malah juga diberi peluang membuat persembahan bermain angklung yang dibimbing oleh Allahyarham Ibrahim bin Encik Aziz dan Pak Benny, kedua-duanya tenaga pengajar yang didatangkan khas dari kedutaan Indonesia.

Mulai tahun 1979,  bilangan ahli kumpulan koir mula meningkat dan dihadkan hanya kepada warga DBP.  Kumpulan Koir DBP telah dibimbing oleh tenaga pengajar yang cukup berpengalaman, antaranya seperti Allahyarham Tuan Haji Abdul Hamid bin Baharudin dan Tuan Haji Mahzan bin Manan. Dengan adanya tenaga pengajar yang profesional ini dan dilengkapkan dengan ilmu seni muzik seperti teori muzik dan teknik vokal, mereka  berjaya membuat persembahan dalam pelbagai majlis DBP, di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Antaranya Majlis Perhimpunan Bulanan, Majlis Anugerah Cemerlang, Majlis Ulang Tahun DBP, Majlis Pelancaran dan Perasmian Bulan Bahasa dan Sastera Negara, Malam Bahasa Jiwa Bangsa, Majlis Ulang Tahun Muzium Negara, Majlis Perasmian Hari Peladang dan Perhimpunan UMNO.

Selain lagu patriotik, Kumpulan Koir DBP juga boleh menyanyikan lagu-lagu Melayu asli.

Sekitar tahun 1985 hingga 1995, Kumpulan Koir DBP mencapai zaman kegemilangannya dan telah berjaya melahirkan dua buah album. Album pertama bertajuk “Koir DBP” manakala album kedua diterbitkan bersempena dengan Program Gerakan Bahasa Kebangsaan di Sektor Swasta (GBKSS). Selain itu, Kumpulan Koir DBP juga diberi peluang mencipta lirik untuk dimuatkan dalam album pertama mereka. Antara lagu ciptaan mereka ialah Lagu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang oleh Dr. Hanafi Ibrahim. Lantaran kegemilangan tersebut, ahli kumpulan koir semakin bertambah dari semasa ke semasa sehingga berjumlah 40 orang ahli.

Koir DBP menitikberatkan kelantangan suara soprano yang diselangi dengan kelembutan suara alto serta kemerduan suara base dan tenor bagi mengasyikkan lagi alunan lagu yang disampaikan. Untuk menyampaikan lagu-lagu ciptaan baharu, latihan intensif diadakan bagi mengharmonikan suara  melodi, alto, soprano dan tenor. Kebiasaan latihan diadakan selama dua jam dalam seminggu, sama ada semasa waktu pejabat ataupun selepas waktu bekerja sebelum majlis diadakan mengikut keperluan.

Kebiasaannya lagu-lagu yang berunsur patriotik dan kemegahan bahasa menjadi pilihan dalam majlis-majlis rasmi DBP. Antaranya Negaraku,  Bahasa Jiwa Bahasa,    Bahtera Merdeka, Bahasa Sendi Tamadun Bangsa dan sebagainya.  Selain menyanyikan lagu-lagu patriotik, Kumpulan Koir DBP juga berkebolehan menyanyikan lagu-lagu Melayu asli seperti Bunga Tanjung, Warisan, Lancang Kuning, Banjaran Titiwangsa, Puteri Santubong, Bunga Melur, Sungai Pahang dan lain-lain. Dengan adanya kekuatan vokal yang mantap, kumpulan koir ini mampu memecah tradisi dengan menyampaikan lagu patriotik dan asli hanya dengan iringan alunan piano.

Sehingga kini Kumpulan Koir DBP masih lagi gigih meneruskan perjuangan dengan kekuatan anggota seramai 18 orang  yang diketuai oleh Encik Mohd. Saleh bin Tahir dan dipimpin oleh guru vokal tersohor, Puan Siti Hajar Ismail. Semoga dengan pelbagai ramuan yang diadun menjadikan kumpulan koir DBP lebih mantap dan berkualiti.

Bahtera Merdeka antara lagu yang menjadi pilihan Koir DBP.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013764
    Visit Today : 1027
    This Month : 33109
    Total Visit : 1013764
    Hits Today : 3522
    Total Hits : 4135627
    Who's Online : 15
  • Kategori