Oleh RASDI DAUD

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP), sebuah institusi yang memperjuangkan kedaulatan bahasa dan kesusasteraan Melayu  mengambil beberapa pendekatan antaranya, termasuk pementasan teater sebagai usaha untuk memasyarakatkan sastera kebangsaan.

Kumpulan Teater Badan Budaya DBP atau nama asalnya Keluarga Seni DBP telah ditubuhkan seawal era tahun 1960-an. Pada era 1970-an nama Keluarga Seni DBP ditukar kepada Kelab Teater DBP, dan pada tahun 1986 sekali lagi pertukaran nama kelab dibuat dan kini dikenali sebagai Kumpulan Teater Badan Budaya DBP. Kumpulan ini diasaskan oleh Sasterawan Negara  Usman Awang semasa allahyarham bertugas di DBP.

Penubuhan Kumpulan Teater Badan Budaya DBP merupakan usaha untuk mencungkil bakat dalam kalangan staf DBP, khususnya sebagai pemangkin kepada kegiatan seni teater Melayu tanah air. Hal ini terbukti dengan munculnya ramai bakat baru yang telah digilap dalam dunia seni teater seperti Johan Jaafar,  Othman Hj. Zainuddin, Anuar Ridhwan, Dinsman dan Zakaria Ariffin. Mereka ini lebih cenderung dalam pementasan teater bercorak absurd.

Drama “Tamu di Bukit Kenny” karya Usman Awang merupakan pementasan teater pertama Kumpulan Teater Badan Budaya DBP yang dipentaskan pada tahun 1967. Drama ini berkisar pada kisah kehidupan  zaman merdeka. Pada era tahun 1980-an, Kumpulan Teater Badan Budaya DBP  berjaya mementaskan beberapa buah teater yang diadaptasikan daripada sajak tanah air dan novel terkenal.

Kebangkitan teater bercorak realisme telah mula kelihatan pada  dalam  era tahun 1990-an. Raja Lawak (1993), karya dan arahan Zakaria Ariffin adalah sebuah teater bercorak komedi yang terbaik pernah dihasilkan buat pertama kalinya di Malaysia.

Selain itu, karya terjemahan asli juga  mula dibawa masuk pada era ini seperti “Penghuni Paya” (1991) karya Wole Soyinka, arahan Anuar Ridhwan, dan “Teman” (1993) karya asal milik Kobo Abe.

Dengan adanya mutu dan reka bentuk persembahan yang mantap yang sentiasa meningkat dari semasa ke semasa, Kumpulan Teater Badan Budaya DBP telah mewakili Malaysia sebanyak dua kali dalam Pesta Kesenian Kuala Lumpur pada tahun 1985 dan 1986 serta  Festival Dramadi Singapura pada tahun 1986 melalui pementasan “Hari-hari Terakhir Seorang Seniman” dan “Salina”.

Perjuangan kumpulan teater ini bagai tiada noktahnya, melalui drama “Tuk Selampit” karya Anuar Nur Arai dan arahan Zakaria Ariffin, Kumpulan Teater Badan Budaya DBP sekali lagi mewakili Malaysia dalam First Asean Theater Festival di Manila pada tahun 1987 dan Malaysia Fest pada tahun 1988 dan 1989.

Pada bulan September 1992, Kumpulan Teater Badan Budaya DBP berpeluang mengadakan pementasan “Matinya Seorang Pahlawan” sempena Minggu Sastera Malaysia di Universiti London.

Aktivis teater yang tidak asing, A. Wahab Hamzah berjaya mengarahkan teater bertajuk “Pesona Al-Amin” pada tahun 2000. Teater ini diadaptasi daripada puisi terpanjang hasil nukilan Sasterawan Negara A. Samad Said. Puisi ini memancarkan sejarah pejuang yang berabad lamanya yang membawa keistimewaan dan kelainan bersesuaian dengan masyarakat Islam sejagat. Penerapan nilai-nilai rohani turut dimuatkan dalam puisi ini, malah sehingga kini tiada lagi karya seperti ini ditemui dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu di Malaysia, khususnya dalam genre puisi.

Teater “Intan yang Tercanai” juga arahan A. Wahab Hamzah telah tersenarai dalam tiga kategori Anugerah Seni BOH-Cameronian 2009. Ketagori yang dicalonkan ialah Karya Asal Terbaik oleh Noordin Hassan, Pelakon Lelaki Terbaik oleh Rasdi Daud dan Penataan Muzik dan Bunyi Terbaik oleh Hafiz Askiak. Dua daripada tiga pencalonan telah  dimenangi, iaitu Karya Asal Terbaik, dan Penataan Muzik dan Bunyi Terbaik.

“Titah Tuanku” antara hasil kumpulan teater badan budaya DBP.

Kumpulan Teater Badan Budaya DBP terus mengorak langkah bersama-sama aktivis teater seperti Usman Awang, Baha Zain, Ismail Dahaman, Dinsman, Mishar, Othman Hj. Zainuddin, Zakaria Ariffin, Johan Jaafar, Anuar Ridhwan, Salmiah Hassan dan A. Wahab Hamzah. Selain itu, terdapat beberapa nama tenaga di belakang tabir yang menjadi tonggak kepada Kumpulan Teater Badan Budaya DBP seperti Fadzil Agussalim, A. Rahman Salim, Ku Mustapha Ku Yusoff, A. Ghapar Abdullah, A. Bakar Buyong, A. Murad Ahmin dan lain-lain.

Dengan berbekalkan cinta dan minat yang mendalam terhadap dunia seni teater, ramai bakat baru yang  dicungkil dalam kalangan staf DBP. Antaranya Rasdi Daud, Ali Osman, Bohari Ibrahim, Shaari Shafie, Siti Haslinda, Nor Adirah Abdul Rahim, Hamidah Alham, dan Jamaluddin Hassan. Beberapa orang pelakon ternama dalam lakon layar dan drama tv seperti Imuda, Sabri Yunus, dan Shahrizan Ahmad (Abon) juga lahir daripada Kumpulan Teater Badan Budaya DBP.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1037176
    Visit Today : 658
    This Month : 19775
    Total Visit : 1037176
    Hits Today : 2105
    Total Hits : 4254461
    Who's Online : 16
  • Kategori