OLEH MUHAMAD RAFIQ ABDUL RAHMAN

ALAM sedang memberikan reaksi negatif terhadap dunia! Itulah realiti yang tidak boleh ditolak oleh sesiapa pun, baik sarjana, penyelidik, cendekiawan mahupun masyarakat awam. Buktinya, menurut Akademi Sains Kebangsaan (NAS) suhu permukaan bumi telah meningkat sebanyak -17.2 darjah Celsius dan hal ini telah bermula sejak dua dekad yang lalu.

Tidak cukup dengan bahana itu, kajian daripada Saintis British di Antartika, sejak tahun 1980-an lagi terdapat lubang lapisan ozon di Antartika pada setiap musim bunga pada bulan September hingga Oktober. Menjelang tahun 1988, lubang ozon tersebut mempunyai keluasan meliputi Antartika dan sebahagian Australia dan New Zealand. Malah kawasan Utara Benua Asia telah mengalami kesannya sejak tahun 1961 hingga 1989 lagi. Percaya atau tidak, keluasan Laut Aral telah menyusut dari 66 000 kilometer persegi kepada 36 500 kilometer persegi, iaitu penyusutan sebanyak 55.3 peratus.

Yang lebih mengejutkan dan membimbangkan khususnya masyarakat di negara ini, jelas Pakar geologi, Profesor Datuk Dr. Ibrahim Komoo, beberapa buah kawasan di Semenanjung Malaysia terutama kawasan pesisir pantai berisiko ditenggelami air. Hal ini disebabkan lapisan ais di Greenland menunjukkan kecairan yang luar biasa. Imej satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat menunjukkan hampir 97 peratus permukaan glasier di Greenland mula mencair dan terdapat sebuah bongkah ais gergasi dua kali lebih besar daripada Manhattan, Amerika Syarikat atau hampir menyamai saiz Pulau Tioman di negara ini turut pecah.

Persoalannya, mengapakah hal ini boleh berlaku sedangkan alam sekitar yang dianugerahkan oleh Allah SWT sememangnya tersedia dengan cukup baik dan sempurna? Siapakah penyebab dan punca berlakunya perubahan iklim dunia sehinggakan alam mula menunjukkan reaksi yang membimbangkan penduduknya? 

Tanpa Alam Tiadalah Kehidupan

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1972 telah menjelaskan bahawa alam sekitar merupakan suatu aset atau simpanan sumber-sumber alam sama ada berbentuk material dalam kelompok masyarakat atau populasi tertentu, pada waktu dan tempat yang ditentukan bagi menyempurnakan dan memenuhi keperluan manusia dari masa ke masa.

Hal yang sama turut terkandung dalam kitab karangan Ibnu Abd. Rabbihi, al-Jumanah yang menjelaskan bahawa alam sekitar merujuk kepada kehidupan ciptaan Ilahi dan kebudayaan yang wujud di mana manusia dapat menjalani kehidupan di dalamnya. Oleh hal yang demikian, kehidupan kedua-dua makhluk ini saling memerlukan antara satu sama lain seperti kata pepatah bagai aur dengan tebing. Apabila keseimbangan itu terbentuk dengan baiknya, barulah kitaran kehidupan berputar mengikut hukum alam yang sebenar.

Maka bersesuaian dengan amanah yang disampaikan melalui Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Muslim yang bermaksud, Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa-apa yang kamu lakukan.

Menurut data yang diperoleh dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, negara mempunyai keluasan hutan sebanyak 59 peratus, iaitu (19.42 juta hektar) daripada keluasan tanah yang ada, iaitu 32.83 juta hektar. Kadar pembahagian hutan mengikut pecahan pula ialah 45 peratus (5.88 juta hektar) di Semenanjung, 59 peratus (4.30 juta hektar) di Sabah dan 69 peratus (9.24 juta hektar) di Sarawak. Daripada jumlah tersebut, 4.93 juta hektar merupakan kawasan hutan simpan kekal merangkumi hutan darat, hutan paya gambut dan hutan paya laut dan telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Bagi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, hutan simpan kekal dikategorikan kepada dua, iaitu hutan pengeluaran seluas 3.01 juta hektar (61 peratus) dan hutan perlindungan seluas 1.92 juta hektar (39 peratus). Hanya kawasan hutan pengeluaran sahaja yang dibenarkan untuk tujuan pengusahasilan dan pengawalan terhadap pembukaan kawasan hutan melalui pelaksanaan Catuan Terbang Tahunan. Pada tahun 2014, seluas 34 069 hektar kawasan hutan simpanan kekal telah dibuka untuk diubahsuai.

Namun begitu, seperti kata pepatah, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Walaupun angka tersebut menampakkan seperti terjaga rapi hutan di negara ini, namun, sebaliknya yang berlaku. Jelas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, sejak tahun 1960, sebanyak 86 000 hektar kawasan hutan simpan kekal yang diambil untuk tujuan pembangunan gagal diganti sepenuhnya oleh kerajaan negeri mahupun persekutuan.

Selain itu, berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling Malaysia mendapati bahawa pemantauan paras bunyi melebihi 55 desibel yang disarankan oleh World Health Organization (WHO), iaitu antara 57.8 desibel hingga 71.8 desibel pada waktu siang (7 pagi hingga 10 malam). Kadar kualiti udara juga menunjukkan negara berada pada tahap yang kurang baik apabila tindak balas nitrogen oksida (Nox) dan sebatian mudah ruap (VOCs) pada kadar membimbangkan.

Apabila berlakunya perkara sedemikian, hal ini menyebabkan berlakunya tragedi seperti hakisan tanah, banjir, cerun curam, tanah jerlus pencemaran udara, air dan bunyi. Lebih buruk, bencana-bencana ini telah pun berlaku seperti runtuhan Kondominium Highland Tower yang dikatakan berpunca daripada pergerakan air bawah tanah, tanah runtuh dan banjir lumpur di Cameron Highland, banjir besar yang luar biasa di Kelantan dan tanah runtuh di Lebuh Raya Karak jelas menunjukkan kelemahan penguatkuasaan dan kerakusan manusia dalam mengejar kekayaan dunia. Tidak cukup dengan itu, fenomena el-nino yang sedang dialami oleh negara juga berkait rapat dengan kemusnahan alam.

Menurut Walt Kelly, juruanimasi terkenal yang menghasilkan watak Pinocchio, Dumbo dan Fantasia, menyatakan bahawa, kita telah bertemu dengan musuh, dan musuh itu adalah kita sendiri! Kenyataan ini cukup tepat ditujukan terhadap apa-apa yang berlaku pada hari ini. Keadaan alam sekitar yang berubah dan tindak balas bumi sebenarnya berpunca daripada perilaku dan kerakusan manusia dalam mengejar cita-cita peribadinya tanpa memikirkan kesan dan akibat selepasnya.

Allah SWT menegaskan hal ini melalui firmannya dalam surah al-Rum ayat 41 yang bermaksud, telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa-apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah SWT hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Sejak akhir-akhir ini ramai yang membincang dan memperkatakan tentang permasalahan ini, akan tetapi al-Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW sejak 1400 tahun yang lalu telah mengingatkan kepada manusia agar tidak berbuat kerosakan di muka bumi dan sekiranya tangan-tangan jahat ini terus melakukannya tanpa mengira batasan, pasti berlakunya akibat yang tidak disangka-sangka.

Sebagai akibatnya, nasi sudah menjadi bubur dan perkara ini setidak-tidaknya harus difikirkan jalan penyelesaiannya dan bukan menuding jari kepada mana-mana pihak. Kesedaran secara menyeluruh kepada masyarakat harus ditekankan bagi memastikan kelestarian alam terus kekal.

Kembali kepada Fitrah

Manusia diutus oleh Allah SWT ke bumi dengan membawa tanggungjawab yang lebih tinggi berbanding dengan makhluk lain, iaitu sebagai khalifah. Hakikat ini dapat dilihat melalui firmannya dalam surah al-Baqarah, ayat 30 yang bermaksud, ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.

Sesuai dengan kepercayaan tersebut, maka Maha Pencipta bukan sahaja mencantikkan kejadian manusia, malah menganugerahkan kepadanya nikmat akal yang tiada pada makhluk lain. Al-Quran dan sunah banyak memberikan penekanan tentang pentingnya penjagaan alam sekitar dan menggesa memanfaatkan khazanah alam berlandaskan syariat Islam.

Bagi Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Nizzamuddin Zakaria, menjelaskan bahawa, aspek ketuhanan dalam konteks kosmologi merupakan antara peranan yang terpenting dalam ajaran agama Islam. Islam menjelaskan kedudukan alam sekitar yang kudus dan tertib dan itulah rasionalnya alam sekitar dikemukakan sebagai salah satu teras Islam Hadhari.

Islam tidak pernah menghalang untuk pembangunan dan memajukan sesuatu perkara, malah menggalakkan lagi manusia dalam menggunakan akal untuk mempelbagaikan kebolehan berlandaskan al-Quran dan sunah. Namun begitu, apabila disalah tafsir, maka berlakunya gejala yang tidak diingini sehingga menyebabkan kemusnahan, kerosakan dan bencana.

Pelestarian dan kepentingan alam sekitar turut disebut secara tersurat dan tersirat dalam banyak ayat al-Quran dan hadis. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya alam sekitar kepada makhluk yang bernama manusia. Perbuatan merosakkan alam sekitar sama seperti menafikan sikap adil dan ihsan, walhal kedua-duanya merupakan perintah Allah SWT yang wajib dilaksanakan.

Ramai yang faham bahawa perilaku seperti tidak menunaikan solat, tidak berpuasa pada bulan Ramadan atau tidak menutup aurat merupakan suatu dosa. Namun, perbuatan memusnahkan alam sekitar tanpa sebab utama juga merupakan satu dosa. Perbuatan mencemarkan alam sekitar yang mengganggu ekosistem alam secara langsung sehingga merosakkan kehidupan alam semesta adalah bercanggah dengan tuntutan agama Islam.

Manusia seharusnya kembali kepada fitrah kejadiannya. Apabila konsep khalifah dan hamba kepada Maha Pencipta difahami secara tuntas, permasalahan ini pasti tidak berlaku malah berupaya memelihara alam sekitar daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 191 yang bermaksud, …(iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada seksa neraka!

 

 

 

 

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013831
    Visit Today : 1094
    This Month : 33176
    Total Visit : 1013831
    Hits Today : 3932
    Total Hits : 4136037
    Who's Online : 13
  • Kategori