Oleh SITI ROHAIZAH SARKOM


 
 

RAUT wajahnya yang serius dan agak garang dengan tubuh yang gempal membuatkan beliau sering diberi watak jahat atau antagonis dalam teater lakonannya, sama ada menjadi askar Jepun atau komunis. Walaupun jarang mengukir senyuman atau kelihatan agak sukar didekati, beliau sebenarnya seorang yang peramah dan mudah mesra.

Bermula dengan membantu kerja-kerja di belakang pentas, menyusun atur pentas dan kerja-kerja teknikal bagi sesebuah pementasan teater di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), timbul minatnya untuk menceburi bidang ini dan berusaha sendiri menimba ilmu lakonan pementasan teater.  Melihat keinginan dan kesungguhan beliau, pengarah teater yang tidak asing lagi, Encik A. Ghani Abdullah membawa beliau masuk ke dalam dunia seni teater menerusi pementasan teater-teater pendek 10 minit. Dari situlah bermulanya episod hidup Encik Rasdi Daud sebagai penggiat seni teater Melayu.

Pada tahun 1986, pengarah teater,  Haji Othman Haji Zainuddin mempelawa beliau memegang watak Tun Hassan Temenggong, anak Datuk Bendahara untuk teater “Zaman Gerhana”, iaitu sebuah teater yang diadaptasikan daripada novel karya A. Samad Ahmad. Bakat beliau semakin dapat dilihat oleh pengarah-pengarah teater. Datuk Johan Jaafar juga pengarah teater pada ketika itu mengajaknya bersama-sama menjayakan pementasan teater “Salina”. Teater ini dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP sempena Pesta Kesenian Kuala Lumpur ke-2.

Teater Imam karya Zakaria Ariffin, antara teater terawal lakonan beliau.

Bagi memantapkan lagi gaya dan lenggok lakonan, beliau mengikuti bengkel lakonan anjuran Kompleks Budaya Negara yang kini dikenali sebagai Akademi Seni  Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Bengkel tersebut diajar oleh Encik Krishen Jit, pensyarah Universiti Malaya (UM) ketika itu yang juga tokoh teater tanah air. Selain itu, pengarah teater seperti Datuk Johan Jaafar, Haji Othman Haji Zanuddin, Encik Ahmad Yatim, Encik Joe Hafsham dan beberapa orang lagi pengarah tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar kepada beliau.

       Beliau  dilahirkan pada tahun 1963 dan mendapat pendidikan rendah dan menengah di sekolah St. Gabriel’s, Kuala Lumpur.  Sepanjang perkhidmatannya di DBP sejak tahun 1982, minat beliau terhadap dunia teater tidak pernah luntur malah beliau semakin ligat beraksi di pentas teater. Banyak pementasan teater yang berjaya dilakonkannya bersama-sama Kumpulan Teater Badan Budaya DBP seperti teater “Remang di Lorong Tua” (1987), Lakon Tari “Bharatayudha II” (1987), “Tuk Selampit” (1987), “Rumah Kedai di Jalan Seladang” (1989),  “Pentas Opera” (1989), “Opera Siti Zubaidah” (1990), “Penghuni Paya” (1991), “Patah Sayap Terbang Jua” (2005)  dan banyak lagi, sehinggalah pementasan teater yang terbaharu, “Intan yang Tercanai” (2009) arahan aktivis teater tidak asing lagi Encik A. Wahab Hamzah.

Lakonannya sebagai ketua askar Jepun, Hashimoto dalam teater “Patah Sayap Terbang Jua” amat berkesan.

Beliau juga aktif  dalam pementasan teater kanak-kanak bersama-sama Kelab Sinuri. Kelab ini ditubuhkan oleh Bahagian Penerbitan Am pada suatu ketika dahulu dan diasaskan oleh Puan Mahani Che Ibrahim.  Antara teater kanak-kanak yang dipentaskannya seperti “Taman Permainan” dan “Cendawan Pagi”. Kebanyakan teater kanak-kanak diadaptasikan daripada buku cerita kanak-kanak terbitan DBP. Encik Rasdi juga pernah menjadi tenaga pengajar lakonan teater kepada pelajar di beberapa buah sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor seperti Sekolah Menengah Cheras, Sekolah Menengah Alam Shah dan Sekolah Menengah Teknik Sungai Buloh.

Selain mempunyai bakat dalam dunia seni lakon teater, anak jati Kuala Lumpur ini juga berbakat mendeklamasikan puisi dan bermain alat muzik. Beliau sering membuat persembahan dalam majlis-majlis rasmi DBP sebagai pendeklamasi puisi.

Selain berlakon, Encik Rasdi Daud juga aktif sebagai pengurus pentas acara. 

 Bapa kepada enam orang cahaya mata ini bukan sahaja aktif di pentas teater tetapi juga  dunia lakon layar. Beliau sering muncul dalam drama-drama televisyen, antaranya “Perempuan Seorang Leftenan Inggeris” yang ditayangkan menerusi saluran TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM),   “Pisau Berdarah di Tangan” menerusi saluran  TV3 pada ketika itu Sistem Televisyen Malaysia Berhad (SRMB) dan beberapa buah drama lagi pada era 1990-an. Dalam drama “Tersungkur di Pintu Syurga” tayangan saluran Astro Prima, beliau memegang watak Roslan dan bergandingan dengan pelakon terkenal Melisa Saila, Dian P.Ramlee dan beberapa orang lagi barisan pelakon terkenal tanah air.

Kini, setelah hampir dua puluh tahun berkecimpung dalam dunia seni teater ini, segala usaha dan bakat beliau tidak dipandang sepi. Beliau pernah dicalonkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik  pada Majlis Anugerah Seni  BOH-Cameronian 2009 menerusi teater “Intan yang Tercanai”. Walaupun tidak memenangi sebarang  pertandingan, beliau tetap berpuas hati dan bersyukur dengan bakat dan kebolehan yang dianugerahkan kepadanya. Rasa cinta dan kasih kepada dunia seni teater tidak pernah terhenti atau terpadam, sebaliknya akan terus tersemat dan bersemarak dalam diri beliau demi memperjuangkan kesusasteraan Melayu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036932
    Visit Today : 414
    This Month : 19531
    Total Visit : 1036932
    Hits Today : 1520
    Total Hits : 4253875
    Who's Online : 12
  • Kategori