Oleh NURUL AINA BORHAN

A. Wahab Hamzah

 APABILA diajak berbicara tentang dunia perfileman dan teater tanah air, wajahnya pasti ceria dan terpancar seribu satu semangat. Bukan sekadar omongan kosong, ulasannya yang bersifat intelektual menggambarkan betapa pemilik tubuh kecil ini mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang cukup luas dalam bidang yang diceburinya seawal kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).  A. Wahab Hamzah, nama yang tidak asing lagi kepada peminat teater mahupun filem, seorang pengkritik filem dan teater tanah air tersohor kelahiran DBP.

Bapa kepada dua orang cahaya mata ini memulakan langkahnya di DBP sebagai Pegawai Perpustakaan pada tahun 1985. Anak kelahiran Parit Buntar, Perak ini dibesarkan di Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah St John, Kuala Lumpur. Berkelulusan Sarjana dalam bidang Pengajian Maklumat dari Universiti Northumbria Newcastle, England, beliau juga pensyarah sambilan di Fakulti Penulisan dan Sinema, Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA).

Penglibatan awal A. Wahab dalam kegiatan berteater

Lebih dikenali sebagai “orang kuat” Stor Teater DBP ini mula bergiat dengan Kumpulan Teater Badan Budaya DBP sejak mula berkhidmat dengan DBP. Bermula dengan teater “Zaman Gerhana” (1986) dan “Salina” (1986), beliau mula menimba pengalaman pertama dengan memberi tumpuan kepada aspek penataan cahaya. Drama pentas “Teman” arahan pertamanya bersama Zakaria Ariffin membuka peluang kepada beliau sebagai pengarah teater. Perjalanannya sebagai pengarah teater diteruskan lagi dengan drama pentas “Sungai Mengalir Lesu” (1997), “Pesona Sastera Al-Amin” (2000), “Telegram” (2001), “Monodrama Hering” (2002), “Fragmen Drama Karam” (2004), “Hering” (2004), “Suria di Cordova” (2006), dan “Hikayat Qaziq” (2008).  Drama pentas terbarunya pada tahun 2009, “Intan yang Tercanai” mendapat lima pencalonan Cameronian Boh Awards 2010.

Stor Teater DBP merupakan ilham A. Wahab Hamzah yang ingin mengetengahkan penggiat-penggiat teater yang baru terutamanya golongan muda. Sebelum itu stor teater hanyalah sebuah stor kecil yang menyimpan barang-barang lama DBP. Daripada aktiviti teater di Stor Teater DBP, diharap akan dapat  menimbulkan persaingan yang baru dan sihat dengan  menghasilkan karya-karya bermutu. Usaha ini akan merancakkan dan menyemarakkan lagi dunia teater tanah air. Beliau turut berharap agar DBP akan sentiasa menyokong perkembangan teater bukan sahaja kerana pembaharuan ilmunya tetapi juga ke arah penghasilan kreativiti.

Antara teater yang A. Wahab terlibat

Pada awal penglibatannya dalam teater, A. Wahab Hamzah tidak mendapat pendidikan yang khusus dalam bidang perfileman dan teater. Namun begitu, minat yang mendalam dalam bidang tersebut mendorong beliau banyak membaca dan menyelidik serta menganalisis setiap perkembangan dunia perfileman dan teater tanah air mahupun di peringkat antarabangsa. Setiap kritikan dan pandangan beliau bersifat intelektual, sinis tetapi  membina maka tidak hairanlah beliau antara kolumnis yang paling lama dalam akhbar Utusan Malaysia untuk ruangan Skrin sejak tahun 1993 sehingga kini.

Selain terlibat dalam bidang pementasan teater, beliau turut menulis skrip drama pentas dan TV yang diadaptasi daripada novel seperti “Seteguh Karang”, “Mufarakah”, “Cahaya pada Jiwa”, “Hujan Sudah Teduh”, “Senja Kala”, “Saudagar Besar dari Kuala Lumpur”, “Jaringan”, “Lepaskan Kembali Aku ke Laut”, “Sangeetha” dan “Cerita Adam” yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sebagai ahli panel perbincangan televisyen

 Beliau pernah mengikuti Kursus Perfileman dan Televisyen di Rockport, Maine, Amerika Syarikat pada tahun 1994. Ketokohan beliau dalam bidang teater dan perfileman melayakkan beliau dipilih mejadi panel penilai untuk pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan. Beliau pernah terlibat sebagai Panel Juri Festival Filem Malaysia, Anugerah Seri Angkasa, Anugerah Skrin dan pelbagai peraduan penulisan skrip dan drama TV. Selain itu beliau juga sering diundang sebagai tetamu program bual bicara stesen TV tempatan.

A. Wahab Hamzah pernah memenangi Hadiah Trofi Samad Idris untuk Kritikan Filem Terbaik (2003 dan 2006). Selain itu, beliau juga pernah menerima Anugerah Tinta Kencana oleh DBP dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007 bagi kategori esei dan kritikan sastera.

A. Wahab gemar mengembara sendirian.

Tahun 2010 mencatatkan kenangan manis dalam diari hidupnya apabila impiannya untuk mengembara menjejaki ilmuwan Islam mengikut Laluan Sutera dapat direalisasikan. Perjalanan selama 113 hari itu bermula dari Thailand dan berakhir di Cabo del Roca, Portugal. Sebagai pengembara dan dengan melalui 21 buah negara memberinya pengalaman pahit dan manis, antaranya beliau pernah ditahan polis dan hampir dipenjarakan. Namun di sebalik segala cabaran dan dugaan, beliau melihat satu erti kehidupan yang berbeza.

Menurutnya, pengembaraan itu membawanya bertemu dengan ramai manusia yang baik di seluruh dunia. Kedatangannya sentiasa dialu-alukan dan diberi layanan yang sangat mesra walaupun berada di negara yang antaranya sangat daif dan mundur di dunia. Beliau berjumpa dengan ramai pengembara sepanjang perjalanannya dan saling bantu-membantu apabila ditimpa kesusahan. Kenangan sepanjang pengembaraan itu pasti terakam kemas dalam mindanya dan akan diceritakan kepada generasi seterusnya. Catatan pengembaraannya disiarkan dalam majalah Dewan Siswa terbitan DBP. Harapannya, agar  beliau  dapat menjadi pencetus inspirasi dan contoh kepda golongan muda yang ingin mengembara untuk mengenal kehidupan.

Menyelia persediaan pentas

 


 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1037107
    Visit Today : 589
    This Month : 19706
    Total Visit : 1037107
    Hits Today : 1870
    Total Hits : 4254225
    Who's Online : 8
  • Kategori