Oleh AHMAD KHALILUL HAMEEDY NORDIN

DALAM dunia pendidikan hari ini, peluang perkerjaan menjadi kayu ukur kepada nilai sesuatu bidang dalam pendidikan. Fokus pendidikan, khususnya pada peringkat pengajian tinggi, menghala kepada kebolehpasaran graduan dalam industri. Kursus yang ditawarkan di universiti awam mula berorientasikan kehendak industri. Keadaan sebegini memberikan impak negatif secara tidak langsung kepada kursus yang dilihat kabur dalam kebolehpasaran graduannya. Hal ini bertambah buruk lagi apabila media mempersoalkan kerelevanan pengajian kesusasteraan pada peringkat pengajian tinggi. Bukan pada peringkat pengajian tinggi sahaja yang terkena tempias negatif media ini, malah pada peringkat sekolah, pelajar yang berada dalam aliran sastera dimomokkan sebagai pelajar yang tercorot.

Pengajian kesusasteraan mula mereformasi subjek yang ditawarkan agar mula selari dengan kemajuan teknologi hari ini dan mula berfokus pada melahirkan graduan yang mampu untuk memanfaatkan pembelajaran kesusasteraannya sebagai salah satu aspek dalam penciptaan kerjaya. Hal ini bertepatan dengan kehendak ekonomi semasa yang menggalakkan mahasiswa untuk mencipta pekerjaan, di samping menunggu peluang pekerjaan.

Adakah ada peluang pekerjaan bagi pelajar pengajian kesusasteraan?

Wujudkah peluang pekerjaan bagi pelajar pengajian kesusasteraan?

Dewasa ini, persoalan tentang pekerjaan merupakan kewajipan selepas memperoleh ijazah. Pertanyaan demi pertanyaan inilah yang membentuk stereotaip yang memburukkan keadaan lagi. Jika ditanya tentang peluang pekerjaan bagi pelajar pengajian kesusasteraan, pasti jawapan yang akan diterima antaranya guru, pensyarah dan novelis.

Persoalan kebolehpasaran graduan daripada pengajian kesusasteraan menjadi faktor yang menyebabkan jumlah pelajar pengajian kesusasteraan menurun saban tahun. Persoalan ini juga jika diperdebatkan akan menimbulkan pelbagai persoalan seputar kesusasteraan itu sendiri. Akan ada pihak yang mempersoalkan kerelevanan mereka bagi membicarakan soal pekerjaan dengan ilmu pengetahuan. Sememangnya tidak dinafikan bahawa ilmu yang dipelajari bukanlah semata-mata modal untuk dunia pekerjaan, bahkan ilmu yang dipelajari, khusus kesusasteraan, berperanan penting untuk melahirkan manusia yang mempunyai nilai insani. Kesusasteraan itu sendiri sering dikaitkan dengan ilmu yang mampu merungkai persoalan jiwa. Kesusasteraan itu kadang-kadang dipandang sebagai sesuatu yang abstrak, tidak seperti aliran sains yang tampak konkrit. Yang paling menyedihkan apabila kesusasteraan itu sendiri sentiasa dilabelkan sebagai khayal-khayalan.

Namun begitu, sebagai pelajar kesusasteraan, persoalan sebegini merupakan cabaran dan bukan penghalang untuk terus ke hadapan. Persoalan pekerjaan sememangnya tidak boleh dipinggirkan daripada perbincangan kesusasteraan itu sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana era globalisasi hari ini mendesak pelajar kesusasteraan tampil lebih kreatif menghasilkan sesuatu yang tampak konkrit yang mampu memberikan nilai kepada sesuatu yang abstrak.

Sebenarnya, jika diteliti, sumbangan pengajian kesusasteraan dalam dunia industri hari ini setanding dengan aliran pengajian lain. Namun begitu, mungkin stereotaip terhadap kesusasteraan itu sendiri telah mengabui mata masyarakat yang hanya melihat sastera itu dalam satu bentuk sahaja. Kesusasteraan sebenarnya telah lama bertapak dalam industri kreatif yang melibatkan media terkini.

Sebagai pelajar kesusasteraan, imej negatif terhadap pengajian kesusasteraan ini perlu dibersihkan. Kebolehpasaran dalam kalangan graduan pengajian kesusasteraan boleh ditingkatkan dengan pelbagai cara yang sesuai tanpa mengabaikan hakikat kesusasteraan itu sendiri. Hal ini perlu dilakukan secara berhati-hati kerana kita tidak mahu nantinya kita terlalu mengejar aspek kebolehpasaran sehingga menjadikan kesusasteraan itu sebagai alat komersial yang tempang nilainya.

Proses permurnian semula imej pengajian kesusasteraan perlu bermula pada peringkat persekolahan lagi. Tanggapan aliran sastera sebagai aliran pelajar tercorot perlu dihapuskan. Proses pemilihan untuk memasuki mana-mana aliran perlu disuburkan dengan minat dan bukannya paksaan. Pengajian kesusasteraan tidak mahu melahirkan graduan yang dipaksa-paksa. Minat kepada kesusasteraan mesti lahir daripada hati nurani yang tidak dipaksa-paksa. Peranan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka mampu memugar dan menyuburkan kembali kesusasteraan dan seterusnya menjadikan pengajian kesusasteraan itu setanding dengan aliran pengajian yang lain.

Sebagai kesimpulan, pengajian kesusasteraan perlu mesra industri semasa dan mampu untuk menghadapi perubahan yang berlaku dengan pantas. Keadaan ini akan menjadikan pengajian kesusasteraan tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas dan fleksibel dalam apa-apa jua keadaan. Di samping membicarakan persoalan pekerjaan graduan pengajian kesusasteraan, jangan lupa peranan utama pengajian kesusasteraan yang membentuk indentiti diri, bangsa dan negara. Apabila hasrat ini tercapai, persoalan tentang kebolehpasaran tidak menjadi masalah lagi malah mampu melahirkan graduan yang dapat mencipta pekerjaan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013359
    Visit Today : 622
    This Month : 32704
    Total Visit : 1013359
    Hits Today : 2041
    Total Hits : 4134146
    Who's Online : 12
  • Kategori