Oleh FAEZAH MUHAYAT


Muhammad Haji Salleh

PERKEMBANGAN kritikan sastera di Malaysia semakin rancak menjelang awal abad ke-21. Walaupun perkembangan ini agak lewat berbanding dengan negara barat, namun peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menganjurkan pelbagai seminar dan bengkel teori dan kritikan sastera Melayu, sedikit sebanyak  memberi ruang dan peluang kepada para sarjana dan pemikir teori sastera Melayu membentangkan buah fikiran dan idea baharu ke arah memperkukuhkan lagi disiplin kritikan sastera di Malaysia.

Bagi meneruskan tradisi keilmuan ini, DBP akan menganjurkan Seminar Pemikiran Sasterawan Negara pada 9 hingga 10 November 2010 bertempat di Dewan Seminar, DBP, Kuala Lumpur. Sasterawan Negara (SN) yang akan dibincangkan karya dan sumbangannya dalam perkembangan kesusasteraan negara pada seminar kali ini ialah SN Muhammad Haji Salleh. Ketokohan dan sumbangan beliau amat terserlah dalam dunia penulisan puisi Melayu moden, kritikan dan teori Nusantara. Malah, bidang kajian beliau yang luas mencakupi sastera Nusantara, sastera Asia Tenggara, sastera Inggeris, dan sastera Eropah membayangkan minat dan kesarjanaannya yang istimewa.

Seminar ini merupakan siri seminar tahunan anjuran Bahagian Dasar dan Penyelidikan Sastera (dahulunya Bahagian Teori dan Kritikan Sastera), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 2004. Muhammad Haji Salleh ialah SN yang ke-7 dibincangkan karya dan pemikirannya selepas S. Othman Kelantan (2004), Keris Mas (2005), Usman Awang (2006), Shahnon Ahmad (2007), A. Samad Said (2008), dan Arena Wati (2009). Seminar merupakan salah satu kaedah untuk Bahagian Dasar dan Penyelidikan Sastera mendapatkan hasil kajian tentang pemikiran SN selain  salah satu usaha DBP untuk melestarikan misinya bagi memperkasa  karyawan dan ilmuwan sastera, memperluas  khalayak sastera dan meningkatkan kuantiti serta kualiti sastera demi memartabatkan sastera kebangsaan.

Mengimbau latar kehidupan  SN Muhammad Haji Salleh, beliau mula dikenali umum di tanah air sebagai penulis pada sekitar akhir tahun 1960-an. Anak kelahiran Taiping, Perak ini banyak menghabiskan usianya di luar negara dan mula menulis puisi yang kebanyakannya ditulis dalam bahasa Inggeris. Bagi beliau, puisi adalah suatu bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa dan kebijaksanaan penyair dan tradisinya. Justeru, tidak hairanlah jika tema puisinya secara umum lebih banyak memaparkan masalah bersama dan masalah eksistensi individu yang berhadapan dengan kehidupan kota. Puisi  beliau juga sering dihubungkan dengan intelektualisme, idea dan pemikiran yang cukup serius. Beliau melihat kehidupan dengan sikap intelektual seorang pencari dan pemikir yang mencari bentuk-bentuk baharu dalam berkarya.

Sebagai penyair yang menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris, SN Muhammad Haji Salleh juga mempunyai kekuatan bahasa yang amat membanggakan. Beliau merupakan salah seorang penterjemah yang baik dalam bidang kesusasteraan dan banyak menterjemahkan puisi-puisi Melayu ke dalam bahasa Inggeris. Sumbangan Muhammad Haji Salleh yang besar dalam bidang kesusasteraan Melayu membolehkan beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 1991, penerima S.E.A Write Awards pada tahun 1997 dan dipilih sebagai Tokoh Akademik Negara pada tahun 2008.

Dalam seminar yang bakal diadakan, sebanyak 20 kertas kajian termasuk kertas ucap utama akan dibentangkan oleh para pemikir dan ahli akademik yang sememangnya diakui berbakat dari segi sumbangan dan ketokohan mereka dalam dunia sastera tanah air. Antaranya, Md. Salleh Yaapar, Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana), Lim Swee Tin, Zurinah Hassan, Norhayati Abdul Rahman, Siti Hajar Che Man, Wong Soak Koon, Ding Choo Ming, Abdulah Hassan, Sohaimi Abdul Aziz, Arbak Othman, Awang Azman Awang Pawi, Malim Ghozali PK dan Shamsudin Othman. Skop kajian seminar meliputi perbincangan karya SN Muhammad Haji Salleh dalam pelbagai genre yang dikupas melalui pelbagai teori dan pendekatan.  Selain itu, sebanyak sepuluh kertas kajian iringan yang ditulis oleh generasi muda tentang pandangan mereka terhadap karya SN Muhammad Haji Salleh.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, bolehlah dihubungi urus setia seminar melalui talian 03-21482537/2539 atau e-mel kepada faezah@dbp.gov.my atau hajijah@dbp.gov.my .

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    347234
    Visit Today : 755
    This Month : 41684
    Total Visit : 347234
    Hits Today : 2997
    Total Hits : 1418406
    Who's Online : 13
  • Kategori