OLEH ZAIDI ISMAIL

BAGI yang suka berjalan-jalan dan tempat yang ingin dituju itu pula merupakan tempat yang baharu, sudah tentu papan-papan tanda akan diperhatikan apabila melalui sesuatu kawasan. Tujuannya untuk mengesan tempat yang ingin dituju.

Papan-papan tanda biasanya akan diletakkan di pinggir-pinggir jalan utama. Papan tanda ini akan dipasang oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Pihak Berkuasa Tempatan. Lazimnya, papan tanda yang dipasang oleh pihak yang berkenaan akan menggunakan bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, bahasa Melayu yang digunakan itu kadang-kadang ada yang tidak tetap dan mengelirukan, seperti menggunakan dua ejaan yang berbeza untuk menunjukkan tempat yang sama. Contohnya, seperti stesen bas dan stesyen bas dalam papan tanda di bawah.

STESEN BASSTESYEN
Stesen bas atau stesyen bas?

Antara stesen bas dengan stesyen bas itu, ejaan manakah yang sepatutnya digunakan? Kedua-dua papan tanda itu didirikan di kawasan yang berhampiran. Hal ini tentulah akan mengelirukan, khususnya dari segi penggunaan bahasa dalam kalangan pelajar sekolah dan orang awam.

Antara dua ejaan tersebut (stesen dan stesyen), sebenarnya hanya satu ejaan yang betul, iaitu stesen. Dari segi pembentukan istilah, kata stesen merupakan kata serapan daripada bahasa Inggeris, station. Kata ini diserap berdasarkan bunyi dalam bahasa Melayu dengan sedikit penyesuaian ejaan. Cara penyerapannya sama dengan penyerapan istilah lotion, yang juga diserap berdasarkan bunyi dalam bahasa Melayu dengan sedikit penyesuaian ejaan, menjadi losen.

STORSETOR
Setor atau stor?

Selain papan tanda itu, ada lagi papan tanda yang menggunakan ejaan yang tidak sama untuk tempat yang sama, iaitu setor dan stor seperti dalam papan tanda di bawah.

Kedua-dua papan tanda itu juga dipasang di tempat yang berhampiran. Untuk ejaan tersebut (setor dan stor), hanya satu ejaan yang betul dan sepatutnya digunakan, iaitu stor. Kata stor juga merupakan kata serapan daripada bahasa Inggeris (store), yang diserap secara langsung dengan mengekalkan bunyi asal dan sedikit penyesuaian ejaan.

Jadi, antara stesen bas dengan stesyen bas, dan setor dengan stor, sepatutnya hanya satu ejaan yang digunakan untuk menunjukkan tempat yang sama. Ejaan yang sepatutnya digunakan untuk tempat tersebut sepatutnya stesen bas dan stor.

Kesalahan-kesalahan yang mudah itu sepatutnya tidak terjadi sekiranya pihak yang berkenaan, terutamanya yang terlibat dalam pembuatan dan pemasangan papan tanda di tempat-tempat awam (seperti JKR dan Pihak Berkuasa Tempatan) lebih peka terhadap penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Sekiranya mereka tidak pasti sama ada ejaan yang ingin digunakan itu adalah tepat atau tidak, mereka sepatutnya merujuk dalam kamus atau boleh juga bertanyakan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang ada menyediakan Khidmat Nasihat Bahasa.

 

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034185
    Visit Today : 401
    This Month : 16784
    Total Visit : 1034185
    Hits Today : 1392
    Total Hits : 4239726
    Who's Online : 14
  • Kategori