Oleh MARIAM RASID

 AL-GHAZALI mendefinisikan ghazal sebagai “berbalas-balas nyanyian dalam bentuk syair”. Ghazal dalam bahasa Arab bermaksud “lagu dan puisi kasih”. Secara ringkasnya, ghazal membawa maksud nyanyian dalam bentuk puisi.

Kesenian ghazal pernah mendapat tempat dalam hati masyarakat kita suatu ketika dahulu. Muzik ini sering dimainkan dalam pelbagai acara atau keramaian yang diadakan di Johor Darul Takzim, terutamanya di istana dan sangat mendapat perhatian sultan, pembesar negeri serta golongan istana. Namun, seni ghazal atau digelar “gamat” yang bermaksud riuh-rendah ini hampir hilang ditelan zaman.

Orang muda kini lebih mengagung-agungkan muzik Barat seperti irama balada, hip-hop dan rock. Irama muzik ini dikatakan memenuhi selera mereka kerana rentaknya moden dan lirik lagunya mampu meruntun perasaan dan jiwa anak-anak muda.

Keburukan yang ketara daripada muzik yang disebut di atas adalah remaja mudah terjebak dalam pergaulan bebas. Suasana dan tempat muzik dimainkan sering menimbulkan masalah kepada remaja kerana menyimpang daripada budaya tempatan sekali gus mengabaikan warisan Melayu.

Mengapakah generasi muda tidak sedar akan fungsi seni ghazal dalam masyarakat Melayu? Ghazal juga berperanan penting untuk menghiburkan pendengar. Sebagai contoh, sudah menjadi kebiasaan orang Melayu dahulu kala berhibur sambil berkenduri atau dalam erti kata lain, mereka akan menyediakan sedikit juadah dan memanggil kumpulan ghazal untuk berhibur, manakala tariannya sangat sopan. Perkara yang jelas dapat dilihat kini, kebanyakan upacara pesta atau kenduri-kendara mengabaikan ghazal dan menggantikannya dengan set karaoke yang memuatkan lagu moden.

Sebenarnya, orang muda mampu meluahkan perasaan dan idea melalui ghazal. Lagu-lagu ghazal yang bercorak percintaan juga dapat meluahkan perasaan. Antara lagu tersebut ialah  “Patah Hati”, “Seri Mersing”, “Lancang Kuning”, “Laksamana Mati Dibunuh” dan “Lela Manja”.

Persembahan ghazal.

Persembahan ghazal.

Selain itu, lirik lagu ghazal berperanan penting sebagai jalan untuk menjiwai muzik dan irama yang dipersembahkan.  Bentuk dan irama lenggok Melayu menyebabkan terciptanya lagu “Seri Mersing” yang sehingga kini masih mempunyai sentuhan dan bait-bait pantun yang hebat. Contohnya, “Seri Mersing, lagulah Melayu, dikaranglah oleh biduan dahulu”, “Hatiku runsing bertambahlah pilu, sayang”.

Namun begitu, fungsi ghazal dalam generasi muda hari ini tidak sekukuh dahulu kerana sudah terdapat saluran hiburan lain seperti radio dan televisyen yang menyiarkan lagu moden semata-mata. Selain itu, dalam masyarakat sekarang sudah terdapat soal sewa-menyewa bagi mengadakan persembahan ghazal, tidak seperti dahulu yang dilakukan secara sukarela.

Faktor lain yang menyebabkan generasi muda kini tidak meminati muzik ghazal adalah globalisasi yang menyebabkan kegiatan seni budaya tradisional semakin lesu kerana terdedah kepada perkembangan budaya asing. Selain itu, kurangnya pusat latihan seni ghazal menyebabkan bakat yang berpotensi tidak dapat diasah dan tidak berpeluang menunjukkan kemampuan.

Oleh itu, beberapa langkah boleh diambil bagi menarik minat generasi muda untuk mengembangkan seni ghazal ini. Antaranya “merakyatkan seni”, iaitu mengadakan persembahan ghazal di tempat seperti Istana Budaya atau mengadakan pertandingan ghazal.

Selain itu, pihak kerajaan haruslah menubuhkan lebih banyak pusat latihan seni ghazal seperti yang dilakukan oleh Yayasan Warisan Johor. Hal ini penting kerana generasi muda kini mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Mereka dapat menyampaikan seni ghazal ini kepada rakan-rakannya setelah mempelajari sedikit demi sedikit ilmu berkaitan seni ghazal.

Rentetan itu, buat pengetahuan generasi muda kini, sekiranya ghazal dihayati dan berkembang dalam kalangan masyarakat bukan Melayu, maka ghazal akan menduduki taraf yang tinggi kerana alat-alat muziknya berasal dari pelbagai negara. Oleh itu, minat yang disemai sejak peringkat akar umbi oleh pihak-pihak tertentu diharap dapat melanjutkan warisan seni ghazal sekali gus mendapat tempat dalam budaya Melayu hari ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035557
    Visit Today : 335
    This Month : 18156
    Total Visit : 1035557
    Hits Today : 1765
    Total Hits : 4247855
    Who's Online : 6
  • Kategori