Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

KESENIAN Gordang Sembilan di Kuala Langat, Selangor telah dipelopori oleh Persatuan Penggiat Seni Budaya Daerah Kuala Langat (PESAT). Secara amnya Gordang Sembilan telah diterima di Kuala Langat sebagai salah satu daripada muzik tradisional yang kaya dan tinggi nilainya.

Persembahan Gordang Sembilan telah dimainkan di majlis-majlis rasmi kerajaan negeri, di majlis adat istiadat istana, di majlis berkabung (kesedihan), di majlis kesyukuran dan di majlis perkahwinan bertujuan untuk memberitahu bahawa satu majlis sedang diadakan dan sekiranya mendapat restu dari tuan rumah Gordang Sembilan ini akan diikuti dengan majlis tarian sehinggalah persembahan selesai.

Penulis dua dari kiri sewaktu bersama Kumpulan Gordang Sembilan PESAT mengadakan persembahan sempena Perarakan Hari Kemerdekaan 2007 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Penulis dua dari kiri sewaktu bersama Kumpulan Gordang Sembilan PESAT mengadakan persembahan sempena Perarakan Hari Kemerdekaan 2007 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Kesenian Gordang Sembilan terdiri daripada sembilan buah gordang berukuran besar dan panjang, disusun secara bertingkat menurut ukurannya. Kesemua gordang ini dibuat dari kayu yang dilubangi salah satu hujung lubangnya, kemudian hujung yang lain ditutup dengan menggunakan kulit lembu. Kulit tersebut ditegangkan dengan menggunakan rotan, yang juga berfungsi sebagai pengikat. Untuk membunyikannya, diperlukan pemukul dari kayu.

Seperti mana muzik tradisional lain, irama yang dilahirkan oleh gordang sembilan berasaskan suara alam mengikut keperluannya. Irama yang dihasilkan seperti ketika menyambut tetamu irama ‘Gondang Tor-tor Sarama’ bermaksud memberikan ulos atau sambutan (sarama bermaksud selendang) atau di sini dikenali sebagai irama ‘pukulan’.

Selain itu irama seperti ‘Gondang Aek Magodang’ amat sesuai semasa mengiringi para pembesar kerana irama ini menyerupai suara-suara alam. Mereka juga akan lebih bersemangat apabila hendak mula berperang atau mengadakan pertandingan kerana irama ‘Gondang Moncak Silat’ sebagai pembakar semangat pahlawan. Pada amnya setiap irama yang dihasilkan merupakan irama yang terpilih oleh si pemain sehinggalah pemukul gendang memberikan isyarat untuk berhenti.

Kesenian Gordang Sembilan terdiri dari sembilan buah gordang.

Kesenian Gordang Sembilan terdiri dari sembilan buah gordang.

Di daerah Kuala Langat, Gordang Sembilan telah mendapat tempat dalam kalangan anak-anak muda yang bersedia menyumbang tenaga dan kesungguhan yang tinggi semasa latihan dan seterusnya sama-sama berperanan sebagai penggerak kepada Kumpulan Gordang Sembilan PESAT Kuala Langat yang sentiasa mengambil peluang untuk diperkenalkan melalui pelbagai cara promosi.

Menurut cacatan sejarah, Gordang Sembilan telah bermula sejak lebih 600 tahun lalu apabila suku kaum Mandaling menolak kepercayaan memuja kepada pemelukan Islam dan Gordang Sembilan dimainkan hanya sebagai alat muzik diraja sahaja. Pada ketika itu syarat bermain gendang ini terdiri daripada 3 sahaja. Ini bermakna Raja 3 dan Permaisuri 3 tetapi oleh kerana Raja mempunyai dua isteri maka gendang ditambah lagi 3 menjadikan ianya sembilan sehinggalah ke hari ini.

Manakala sejarah Gordang Sembilan di Selangor bermula pada sekitar tahun 1980-an dan ia merupakan satu lagi cabang kesenian muzik tradisional yang diketengahkan di Negeri Selangor. Secara kebetulan negeri Selangor mempunyai sembilan daerah maka ianya dinobatkan sebagai salah satu muzik tradisional selain Gendang Selangor.

Sejarah pertama persembahan Gordang Sembilan dari Selangor ialah semasa Pesta Gendang-gendang di Malaysia pada 11-21 September 1998. Namun begitu, perkembangan kesenian Gordang Sembilan di Kuala Langat sejak kebelakangan ini mulai malap dan kian terancam pupus lantaran kurang mendapat sambutan dari masyarakat.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1031543
    Visit Today : 502
    This Month : 14142
    Total Visit : 1031543
    Hits Today : 1475
    Total Hits : 4223747
    Who's Online : 9
  • Kategori