Oleh ZAIDI ISMAIL

 

BAGI pelancong luar yang datang ke Kelantan, antara destinasi membeli-belah yang akan dikunjungi termasuklah Pengkalan Kubor. Bagi yang baru pertama kali berkunjung ke situ, mereka akan memperhatikan papan-papan tanda yang terdapat di pinggir-pingir jalan utama menuju ke kawasan tersebut.

Jadi, apabila memasuki laluan menuju ke kawasan tersebut, kita akan terpandang papan tanda yang menunjukkan arah ke Pengkalan Kubor. Antara papan tanda tersebut termasuklah papan tanda Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor dan Pengkalan Feri JKR. Gambar papan tanda tersebut adalah seperti yang berikut:

papan tanda pengkalan kuborpapan tanda pengkalan kubor2

Papan tanda Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor dan Pengkalan Feri JKR.

Dari segi penggunaan bahasa, adakah ejaan yang digunakan untuk papan tanda tersebut betul? Secara sepintas lalu, rata-rata pengguna bahasa akan menganggap ejaan tersebut bukan sahaja betul tetapi juga dianggap tepat. Walau bagaimanapun, sekiranya diteliti dari segi sistem ejaan dan pembentukan kata bahasa Melayu, ejaan tersebut sebenarnya tidak tepat, terutamanya untuk ejaan Pengkalan Feri JKR.

Untuk ejaan Pengkalan Feri JKR, kata pengkalan yang digunakan dalam frasa nama tersebut sebenarnya terbentuk daripada kata dasar pangkal yang menerima akhiran -an, bukannya kata dasar pengkal. Jadi, ejaan yang tepat untuk kata tersebut ialah pangkalan bukannya pengkalan. Menurut Kamus Dewan (2005) kata pangkalan bermaksud: 1. tempat perahu dan lain-lain berhenti (berlabuh); 2. tempat barang-barang dagangan dan lain-lain dikumpul (untuk diangkut dan lain-lain); 3. pelabuhan (lapangan terbang dan lain-lain) yang menjadi tempat untuk mengadakan latihan, melancarkan serangan dan sebagainya.

Jadi, ejaan yang tepat dan sepatutnya digunakan dalam papan tanda tersebut ialah Pangkalan Feri JKR. Begitu juga dengan ejaan untuk Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh nama Pangkalan Kubor merupakan nama yang terbentuk sebelum tahun 1972 yang menggunakan sistem ejaan lama bahasa Melayu, ejaannya dikekalkan (dengan izin kekecualian), termasuklah ejaan kubor yang sepatutnya kubur.

Dengan hal yang demikian, untuk papan tanda tersebut ada dua bentuk ejaan yang betul, iaitu Pangkalan Feri JKR dan Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor (dengan izin kekecualian). Sama juga halnya dengan nama seperti Pengkalan Chepa juga di Kelantan dan Pengkalan Hulu di Perak yang dianggap sebagai kekecualian.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013990
    Visit Today : 19
    This Month : 33335
    Total Visit : 1013990
    Hits Today : 43
    Total Hits : 4136845
    Who's Online : 14
  • Kategori