Oleh MARSLI N.O

 

WB Rendra

WB Rendra

WB RENDRA atau nama sebenarnya Wahyu Budiwa Rendra A. Wahid dilahirkan di Johor Bahru pada 15 Syawal 1399 Hijrah bersamaan 17 September 1978.

Anak peneroka Felda Ulu Tebrau ini mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan LKTP Ulu Tebrau dari tahun 1985 hingga 1990. Pendidikan menengahnya pula di Sekolah Menengah Kebangsaan LKTP Ulu Tebrau dari tahun 1991 hingga 1995.

bukurendra_1

Kumpulan Cerpen “Mazhab Cinta”.

WB Rendra memperoleh Diploma Kajian Pengurusan dari Kolej Binary (1996-1998) dan kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Putra Malaysia dari tahun 2002 hingga 2006 sehingga memperoleh ijazah Bacelor Pentadbiran Perniagaan.

Genre penulisannya ialah cerpen, sajak, pantun, rencana dan novel. Karyanya yang telah diterbitkan ialah “Mazhab Cinta”, kumpulan yang memuatkan 24 buah cerpen W.B.Rendra yang pernah disiarkan di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Jendela Selatan dan lain-lain sekitar tahun 2002 hingga 2008.

Kumpulan cerpen ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008 dan turut menerima Hadiah Kategori Kumpulan Cerpen Remaja Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) VII bagi tahun 2009.

WB Rendra meraih Hadiah Puisi Pilihan Sayembara Puisi Johor 2004 (Hadiah Tongkat Warrant). Mbeliau juga pernah menjadi Pembicara Ceritera Bersama Karyawan Sastera (Genre Cerpen, 2006) anjuran DBP Wilayah Selatan. Beliau turut menerima Hadiah Penghargaan Puisi dalam Sayembara Penulisan Cerpen dan Puisi Kepenggunaan 2006 anjuran KDNdHEP dan GAPENA; hadiah kategori cerpen dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP 2006.

Pada tahun 2007, beliau telah menerima Hadiah Khas Juri menerusi skrip “Dogma” dalam Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007; Hadiah Sastera Darul Ta’zim (HSDT) ke VI kategori Cerpen Eceran; HSDT VII kategori Kumpulan Cerpen Remaja untuk Kumpulan Cerpen Mazhab Cinta (DBP,2008) anjuran Yayasan Warisan Johor. Beliau juga merupakan penerima Hadiah Kategori Cerpen, dan Hadiah Kategori Puisi Sayembara 50 Tahun Merdeka anjuran DBP; hadiah genre puisi HSKU-ExxonMobil 2007; Anugerah Penulis Muda Johor 2007 oleh Persatuan Penulis Johor(PPJ).

Pemenang tempat ketiga Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor 2010.

Pemenang tempat ketiga ayembara Menulis Novel Sejarah Johor 2010.

Di samping meneruskan tugasnya di Unit Penerbitan YWJ Citra Holdings Sdn. Bhd., W.B Rendra juga membina laman web yang memuatkan biodata penulis negeri Johor.

WB Rendra mengakui bahawa menulis telah membuka ruang untuk beliau berkongsi sesuatu yang mungkin bermanfaat dan bermakna dengan pembaca karya beliau.

Pada waktu yang sama, dengan menulis, WB Rendra juga menjadikannya landas terapi untuk mencurahkan keresahan serta kerunsingan yang bersarang di jiwanya.

Namun begitu, tegas WB Rendra, menulis baginya merupakan sebuah tanggungjawab yang besar. Bagi WB Rendra, ibunya Budi Arti Mahamood dan ayahnya A.Wahid Ahmad, keluarga, teman-teman penulis dan Zaharah Nawawi merupakan pendorong utama beliau sebagai penulis.

Pada peringkat awalnya, WB Rendra banyak mengikuti bengkel-bengkel mengenai penulisan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ). Bengkel-bengkel ini diakui WB Rendra berjaya membentuk dirinya sebagai penulis dan secara berterusan memberikan beliau “keyakinan” bahawa beliau memang boleh menulis.

Oleh itu, pada peringkat permulaan penulisannya, genre penulisan WB Rendra ialah sajak. WB Rendra mengakui, sajak menuntut beliau menggunakan kata-kata yang tepat dan ekonomik untuk menyampaikan sesuatu mesej. Menurut WB Rendra, sajak boleh dihasilkan dengan cepat berbanding dengan penulisan cerpen.

Walau bagaimana pun, kerana merasakan sesuatu mesej tidak cukup disampaikan hanya dengan tiga atau empat stanza sajak, WB Rendra juga memilih untuk menulis cerpen. Tarikan cerpen bagi WB Rendra kerana ia membentangkan ruang yang lebih panjang dengan jalan cerita, kisah dan idea. Dengan cerpen juga, beliau lebih bebas menyusun ayat dan kata-kata. Adakala, keupayaan menghasilkan sajak iaitu pemilihan diksi-diksi tertentu turut digunakan semasa menggarap cerpen.

Penulis bergambar bersama-sama WB Rendra.

Penulis bergambar bersama-sama WB Rendra.

Secara garis besarnya, persoalan yang dikemukakan dalam kebanyakan sajak-sajak WB Rendra berkisar persoalan bangsa dan negaranya, yang menurut beliau seolah-olah dipisahkan oleh gaung fahaman dan curam politik yang besar. WB Rendra berharap semoga sajak-sajak ciptaannya menjadi jambatan untuk kembali merapatkan gaung dan curam itu.

Secara berterus-terang WB Rendra mengaku berasa bahagia kerana memilih untuk menjadi penulis.

Bagi WB Rendra, menulis memerlukan ruang disiplin diri yang tekal. Berkarya, kadangkala ia memikirkan sesebuah masalah, kemudian menyelesaikannya. Dalam situasi tertentu, masalah memang tersedia dan penulis mencari jalan untuk menyelesaikannya. Apabila karya mendapat tempat ia memberikan sebuah kepuasan.

Sebagai penyair pula, walau pun jika jumlah siaran karyanya diambil kira, WB Rendra dapat dikatakan sudah berjaya. Namun begitu, beliau tidak pula menetapkan garis kejayaan dalam pengkaryaan. Bagi WB Rendra, dia akan sentiasa terus mencuba untuk memperbaiki setiap hasil karyanya.

Sehubungan dengan itu juga, WB Rendra mengharapkan agar sastera dapat menjadi sebuah lebuh raya yang dilalui bersama dan menuju ke satu destinasi serupa; namun, sebuah lebuh raya juga mempunyai dua hala. Atau setidaknya menjadi jambatan kepada “dua jurang” yang terpisah.

Menyentuh pandangannya mengenai seorang sasterawan, WB Rendra berpendapat mereka seharusnya terus menerus berkarya, tidak bermusim, tekal, mempunyai peranan dan tanggungjawabnya tersendiri.

Walaupun kini beliau telah bergelar suami, WB Rendra yakin perkahwinan tidak akan mengganggu kelancaran dan keprolifikan karyanya. WB Rendra yakin, selagi pasangan memahami, perkahwinan boleh menjadi pemangkin untuk pengarang lebih prolifik.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034721
    Visit Today : 937
    This Month : 17320
    Total Visit : 1034721
    Hits Today : 4646
    Total Hits : 4242980
    Who's Online : 8
  • Kategori