Encik Ghalib Yunus (kiri) sedang membimbing kursus penataran bahasa Melayu.

DALAM usaha mengembangkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa menganjurkan pelbagai aktiviti dan kursus yang melibatkan pelbagai sektor, lapisan masyarakat dan juga kaum.

Baru-baru ini DBP mengadakan Kursus Penataran Bahasa Melayu dan Bengkel Penulisan Dokumen Rasmi untuk pelbagai kaum dalam kalangan guru Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) Zon C, iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan dan ahli Persatuan Penulis Bukan Melayu. Kursus yang dihadiri oleh kira-kira 80 orang peserta ini dirasmikan oleh Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF), Encik Goh Hin San.

Seminar yang diadakan pada 26 hingga 27 Februari lalu bertujuan untuk mengembangkan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Usaha dan komitmen DBP menganjurkan pelbagai program seumpama ini untuk kaum bukan Melayu diakui oleh Encik Goh Hin San dalam ucapan alu-aluannya.

Menurut beliau, para peserta kursus hendaklah yakin dengan kewibawaan penceramah DBP dalam menyampaikan maklumat berkaitan penataran bahasa dan penulisan dokumen rasmi tersebut kerana DBP merupakan badan yang bertanggungjawab membina dan mengembangkan ilmu kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan. Malahan DBP ialah badan rujukan utama dalam bidang ini, oleh itu peserta tidak seharusnya mensia-siakan program yang diaturkan khusus untuk pelbagai kaum di negara ini, tambahnya lagi.

Idea untuk mengadakan kursus penataran ini dicetuskan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin ketika merasmikan Seminar Bahasa Kebangsaan dan Masyarakat Cina di DBP pada tahun 2009.

Kandungan Kursus Penataran Bahasa Melayu ini diadakan khusus untuk guru SPMC bagi memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan bermutu tinggi dalam kalangan guru bahasa Melayu SPMC. Selain itu, kursus ini juga bertujuan meningkatkan keterampilan dan kemahiran guru sekolah tersebut mengajar subjek bahasa Melayu. Kursus tersebut dibimbing oleh Munsyi Dewan, Encik Ghalib bin Yunus.

Dewan Bahasa dan Pustaka merancang untuk mengadakan lebih banyak kursus yang melibatkan pelbagai kaum, khususnya untuk guru SPMC dari semasa ke semasa dan mengikut zon termasuk zon Sabah dan Sarawak.

Bengkel Penulisan Dokumen Rasmi pula diadakan sebagai respons kepada kajian rambang yang mendapati penulis dan pemimpin masyarakat bukan Melayu kurang berpeluang mendapat pendedahan tentang penguasaan dan kemahiran menulis dalam bahasa kebangsaan dengan betul dan berkesan selain tahap penulisan dokumen rasmi mereka yang belum mantap dan berwibawa.

Para peserta kursus dan bengkel bergambar kenang-kenangan di hadapan menara DBP.

Justeru, DBP mengambil langkah menganjurkan Bengkel Penulisan Dokumen Rasmi ini dengan harapan dapat melahirkan lebih ramai pemimpin masyarakat dan ahli persatuan bukan Melayu yang menggunakan bahasa kebangsaan yang betul. Bengkel Penulisan Dokumen Rasmi dibimbing oleh penceramah DBP yang juga Munsyi Dewan, Encik Abdul Karim Abu Bakar bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan bermutu dalam kalangan penulis serta ahli persatuan bukan Melayu.

  1. Gunasundari a/p Balakrishnan says:

    Saya berminat untuk menyertai kursus Penataran Bahasa Melayu DBP. Adakah kursus ini akan diadakan di negeri Melaka? Bagaimanakah saya boleh mengikuti kursus ini. Saya sedang mengajar Bahasa Melayu di SJK(T) Melaka (KUBU).

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014352
    Visit Today : 381
    This Month : 33697
    Total Visit : 1014352
    Hits Today : 1120
    Total Hits : 4137922
    Who's Online : 14
  • Kategori