OLEH ATIQAH ABD RAHIM

Bahasa pengantar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di universiti adalah sangat penting. Pengaliran ilmu pengetahuan melalui medium bahasa membentuk satu pemikiran dan kefahaman kepada pelajar-pelajar. Namun begitu, terdapat percanggahan dalam kalangan pejuang bahasa yang mahu mengangkat martabat satu bahasa sahaja di peringkat institusi pengajian tinggi. Sebagai seorang bekas pelajar di universiti yang mengamalkan sistem dwibahasa, pemilihan bahasa seharusnya menjadi bahasa demokrasi di universiti iaitu dengan memberi pilihan kepada pelajar memilih bahasa yang selesa baginya untuk menyampaikan pendapat sama ada semasa sesi pembentangan mahupun dalam penulisan ilmiah.

Di Malaysia, dua bahasa yang biasa digunakan di institusi pengajian tinggi ialah bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Perkongsian ilmu di universiti tidak sepatutnya dihadkan kepada satu bahasa malah budaya terlalu menitikberatkan bahasa antarabangsa terutamanya bahasa Inggeris tidak sepatutnya wujud. Perkara yang paling penting semasa di universiti bukan terletak kepada bahasa pengantar yang digunakannya tetapi budaya perkongsian idea dan pemikiran kritikal yang diwujudkan di universiti walaupun dalam berlainan bahasa. Sebagai contoh, sesetengah pelajar tidak fasih berbahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, kedua-dua kumpulan penutur bahasa ini tidak sepatutnya dipisahkan kerana kelemahan masing-masing tidak dapat menuturkan bahasa keduanya dengan baik tetapi masih memahami apa yang ingin diperkatakan oleh rakannya yang bertutur selain bahasa ibundanya. Kewujudan dua kumpulan penutur ini mungkin disebabkan oleh kepelbagaian latar belakang pendidikan dan sosialisasi seorang pelajar itu dalam pergaulan hariannya. Jadi, tidak wujud perasaan rendah diri jika tidak dapat berbahasa dalam satu bahasa dominan di universiti tersebut kerana kepentingan dalam perbincangan tersebut terletak pada idea dan pemikiran yang ingin diperdebatkan.

Peranan pensyarah sangat penting dalam memberi kebebasan kepada pelajarnya untuk menyampaikan idea mereka dalam bentuk penulisan atau dalam komunikasi terbuka dengan menggunakan dua bahasa tersebut. Tidak dinafikan, kebanyakan buku-buku dan jurnal ilmiah ditulis dalam bahasa Inggeris. Sesi pengajaran dan pembelajaran juga menggunakan bahasa antarabangsa sebagai medium pengantar. Jadi, kebanyakan pelajar akan mengikut rentak pembelajaran tersebut dengan menggunakan bahasa Inggeris tanpa menyedari idea dan pemikiran yang ingin disampaikan menjadi tidak tepat kerana penggunaan tatabahasa yang salah dan kelancaran dalam bertutur yang mengganggu konsentrasi kefahaman. Oleh itu, galakan pensyarah memberi pilihan kepada pelajarnya untuk menggunakan antara dua bahasa itu akan memberi keselesaan kepada kedua-dua belah pihak.

Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda negara dapat dimartabatkan di universiti walaupun bahasa Inggeris sering menjadi keutamaan. Peningkatan pelajar universiti dari pelbagai latar belakang terutamanya dari kawasan pedalaman sering menjadi masalah kepada pensyarah untuk menetapkan satu bahasa dalam sesi pembelajaran. Pilihan terbaik buat pelajar ini ialah dengan memberikan pilihan bahasa dalam sistem dwibahasa. Pelajar yang menggunakan bahasa Melayu juga mendapat sistem pemarkahan yang sama dengan pelajar yang menggunakan bahasa Inggeris berlandaskan idea dan pemikiran kritikal yang ditekankan semasa pengajaran di kelas.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013241
    Visit Today : 504
    This Month : 32586
    Total Visit : 1013241
    Hits Today : 1651
    Total Hits : 4133756
    Who's Online : 11
  • Kategori