Foto R Hamzah DuaOleh MARSLI N.O

R. HAMZAH DUA ialah nama pena bagi Hamzah bin Dua. “R” di awal nama penanya ialah kependekan nama isterinya dan sering juga disalahertikan sebagai Raja dan ada dalam kalangan rakan memanggilnya sebagai Raja Hamzah.

Beliau dilahirkan di Weston, Beaufort, Sabah pada 2 Februari, 1957. Mendapat pendidikan awal dan menengah di daerah kelahirannya. Walau pun cita-citanya hendak melanjutkan pelajaran ke menara gading terbantut lantaran masalah kewangan keluarga, namun beliau bertekad belajar sendiri untuk menambahkan ilmu dan pengetahuan. Hasil kegigihan beliau, setelah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, R Hamzah berjaya akhirnya meraih Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain R Hamzah Dua, beliau menggunakan juga nama samaran Anak Rimba, Putera Sabah dan RHD. R Hamzah mula menulis sejak pada tahun 1971 semasa masih belajar di Sekolah Menengah Kerajaan Weston, Beaufort. Beliau bermula dengan genre puisi dan kemudiannya disusuli dengan penyiaran cerpen pertamanya Masih Dalam Kenangan di Radio Malaysia Sabah. Berikutnya beliau memperkembangkan bakat menulisnya ke genre drama radio dan pentas. Kemudian, pada tahun 1974 beliau mula menulis novel.

R Hamzah mengaku, sebelum menulis, beliau banyak melukis komik dan semasa di sekolah, beliau banyak berlakon drama pentas. Bakat dan kepandaian melukisnya itu dimanfaatkan sepenuhnya dan sejak tahun 1983 hingga 1997, beliau banyak membuat ilustrasi untuk cerpen akhbar-akhbar di Sabah.

R Hamzah Dua juga melalui pengalaman kerja yang pelbagai. Pada pertengahan tahun 1976 hingga Ogos 1978, beliau bekerja di Kinabalu International Hotel. Kemudian berpindah ke akhbar mingguan Suara Sabah, dan selepas itu ke penerbitan Amat Imin sebagai pengarang majalah Segar. Setelah itu beliau berpindah lagi sebagai pemberita dengan Sabah Times sehingga pertengahan tahun 1980 dan yang terakhirnya beliau berpindah dan bertugas di Jabatan Penerbangan Awam Malaysia, Sabah. Di samping itu, beliau menjadi penyunting sastera sambilan dengan akhbar Utusan Borneo.

Kegemarannya membaca banyak karya-karya yang dihasilkan oleh SN Abdullah Hussain, SN Shahnon Ahmad, Azizi Haji Abdullah, Khatijah Hashim dan K. Bali, menjadi pendorong kepada R Hamzah untuk beliau memilih bidang penulisan ini. Selain itu, ketika berhijrah ke Kota Kinabalu, K. Bali dan Surya Irawan juga banyak memberi semangat dan perangsang kepada beliau.

R Hamzah Dua tergolong sebagai sasterawan yang sangat prolifik. Sebagai penyair, tiga kumpulan sajak perseorangan beliau “Nyanyian Anak Desa” (untuk remaja) dan dua kumpulan sajak dewasa, “Meniti Cahaya” dan “Ladang Kehidupan” telah diterbitkan oleh Media Ink Publishing Melaka pada tahun 2010. Sebelum itu, sekitar tahun 2001, beliau telah terbitkan kumpulan sajak ini secara persendirian.

Selepas novel pertama“Gelombang” dan “Pantai di Tanjung Aru”diterbitkan oleh Penerbitan Tra-Tra, Petaling Jaya, pada tahun 1982, R Hamzah Dua bagaikan tanpa pernah kenal erti penat, tetap terus menerus menulis dan menerbitkan novelnya. Novel tersebut adalah “Langit Semakin Cerah” (Heinemann Asia: 1984), “Seindah Rama-Rama” (Marwilis Publisher: 1992), “Warna-Warna Senja” (Tempo Publishing: 1992) “Anak Malaysia” (DBP: 1992), “Pahlawan Kota Padas” (Eastview Publication: 1994) dan “Nurul Idayu” (Creative Enterprise: 1994).

Selain itu, novel beliau yang telah diterbitkan adalah “Sisa”(Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur: 1996), “Keruh di Ulu Kimanis” (Utusan Publications & Distributors, Kuala Lumpur: 1996), “Misteri Kuburan Lama” (Utusan Publications & Distributors, Kuala Lumpur: 1996), “Meredah Denai Cinta” (Rhythm Pubnlishing, Pulau Pinang: 2001), “Merenda Harapan” (Oscar Book Internatonal, Petaling Jaya, 2001), “Tautan Kasih” (RHD Publishing, Sepang, 2001), “Biar Kubebat Luka Ini” (RHD Publishing, Nilai: 2002), “Tragedi Lembah Danum” (Cerdik Publication, Shah Alam: 2003), “Jejak Warisan” (Cerdik Publication, Shah Alam: 2003), “Senja di Pusara” (RHD Enterprise, Nilai: 2006), “Kasih Tak Berganti” (MCT Resources, Melaka: 2007), “Titis-Titis Kasih” (MCT Resources, Melaka: 2008), “Maafkan Aku Sayang” (MCT Resources, Melaka: 2008), “Demi Cinta Ini” (MCT Resources, Melaka: 2009) dan “Meredah Dugaan” (Media Ink Publishing, Melaka: 2013).

Kumpulan cerpen perseorangan R Hamzah Dua pula adalah “Oh! Munirah Sayang” (Penerbitan Knight, Kuala Lumpur: 1980), “Teratai Layu di Pantai” (Penerbitan Pena, Kuala Lumpur: 1988), “Lembah Kinbalu” (Oscar Book Internationl, Petaling Jaya: 1991), “Hujan dan Air Mata” (Tempo Publishing, Petaling Jaya: 1991), “Bisikan Rindu” (RHD Publishing, Sepang: 2001), “Pelabuhan Terakhir” (Cerdik Publication, Shah Alam: 2008), “Bisikan Cinta” (MCT Resources, Melaka: 2009), “Cahaya Keinsafan” (Media Ink Publishing, Melaka: 2011), “Mimi Asmida” (Media Ink Publishing, Melaka: 2011); dan “Jauh di Rantau” (Media Ink Publishing, Melaka: 2011).

Beliau juga menyelenggarakan beberapa antologi cerpen, antaranya ialah “Tugu di Tengah Kota” (Oscar: 1991), “Jaguh BMX” (Eastview Publication: 1994) dan “Bersemai Sebelum Musim” (DBP: 1994). Kumpulan drama pentas perseorangan beliau pula berjudul “Pintu & Sisa” diterbitkan oleh RHD Publishing, Nilai, Negeri sembilan pada tahun 2003.

Sepanjang penglibatan beliau sebagai sasterawan, R Hamzah Dua pernah memenangi hadiah kedua Peraduan Menulis Cerpen Remaja DBP Cawangan Sabah dengan cerpen “Itulah Ceritaku” (diterbitkan oleh DBP: 1995), memenangi hadiah sagu hati peraduan menulis cerpen dan puisi berunsur Islam anjuran bersama Majlis Agama Islam Sabah/Jabatan Ketua Menteri dan Angkatan Belia Islam Sabah. Juga memenangi Hadiah Sastera Sabah bagi tahun 1988/1989 dan 1990.1991. Bagi tahun 1992/1993 beliau meraih hadiah untuk kategori cerpen dan novel remaja.

Di samping aktif berkarya dalam bidang sastera dan seni lukis, R Hamzah Dua minat berlakon drama pentas, drama radio dan pernah berlakon drama TV. Pada tahun 1974, semasa masih di sekolah menengah di daerahnya, beliau pernah muncul sebagai Pengarah Terbaik dalam pertandingan drama pentas di peringkat daerah pedalaman bawah, juga sekali gus menjadi penulis skrip dan pelakon utama drama pentas yang berjudul “Hati Hitam Hanya Sepotong”. Drama ini menjadi juara di peringkat pendalaman bawah (Beaufort/Sipitang) dan tempat kedua di peringkat Pedalaman Atas (Keningau). Sekitar tahun 1992 – 1996, R Hamzah Dua banyak berlakon drama radio di RTM Sabah, di samping menjadi salah seorang panel penulis skrip untuk terbitan RTM Sabah.

Dalam kegiatan berpersatuan, R Hamzah Duapernah menjadi ahli Gabungan Penulis Sedar Sabah (GAPURA), Ahli Jawatankuasa Badan Bahasa Sabah (BAHASA) dan juga pernah menjadi Setiausaha Dua badan tersebut di peringkat pusat, manakala di peringkat cawangan menjadi Setiausaha. Selepas itu, sekitar tahun 1988 sehingga ditukarkan tempat kerja ke Subang pada tahun 1977, R Hamzah Dua menjadi Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional Sabah (SASTERWAN). SASTERAWAN ditubuhkan atas daya usahan beliau bersama rakan-rakan karib penulisnya seperti Johnathan Kandok, Juri Durabi dan lain-lain.

Semasa masih aktif berpersatuan di Sabah, beliau sering dijemput memberikan ceramah dan berkongsi pengalaman dalam beberapa kursus/bengkel penulisan kreatif. Selepas bersara daripada perkhidmatannya dengan Jabatan Penerbangan Awam, beliau memilih untuk menetap di Nilai, Negeri Sembilan dan menjadi penulis bebas sepenuh masa juga separuh masa editor (luar).

Dalam satu temu bual siber dengan beliau, R Hamzah mengaku, dari segi konsep dan slogan penulisannya, beliau masih lagi berpegang kepada “Seni untuk Masyarakat”. Lantaran itu jugalah, dalam kebanyakan puisi, cerpen dan novelnya, beliau lebih suka menggunakan bahasa dan plot yang mudah untuk dibaca dan difahami oleh masyarakat.

Dalam kalangan rakan dan teman sesama penulis, terutamanya di negeri kelahirannya, Sabah, R Hamzah Dua dikenali sebagai penulis yang tidak sombong dan suka menolong teman-teman penulis yang lebih muda. Beliau juga dianggap rakan-rakan penulis di Sabah sebagai insan yang menghubungkan mereka dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka serta penerbit-penerbit di semenanjung.

Pada pagi 30hb Julai 2013 di Seremban, Negeri Sembilan R Hamzah Dua terbabit dalam satu kemalangan jalan raya dan telah kembali kepada Maha Penciptanya di Hospital Seremban pada malam itu juga. Jenazah R Hamzah Dua telah dikebumikan di Sipitang Sabah pada petang 31 Julai 2013.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013310
    Visit Today : 573
    This Month : 32655
    Total Visit : 1013310
    Hits Today : 1844
    Total Hits : 4133949
    Who's Online : 13
  • Kategori