Delegasi Malaysia terdiri daripada staf DBP dan PPM yang diketuai oleh Presiden PPM, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan (dua dari kanan).

FORUM Penterjemah Peringkat Asia (AFT) ke-6 (FIT 6th Asian Translators’ Forum) diadakan di Macau, China pada 6-8 November lalu. Delegasi Malaysia diwakili oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) yang diketuai oleh Presiden PPM, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga AJK PPM dan Institut Terjemahan Negara (ITNM) turut menghadiri Forum tersebut.

Forum Penterjemah Peringkat Asia FIT berlangsung selama tiga hari di University of Macau, Daerah Taipan, Macau. Forum ini merupakan persidangan penterjemahan bertaraf antarabangsa yang juga suatu agenda penting dalam komuniti penterjemahan di peringkat rantau Asia. Forum di bawah naungan FIT yang beribu pejabat di Amerika Syarikat ini, diadakan setiap tiga tahun. Sebelum ini AFT ke-5 diadakan di Bogor, Indonesia pada tahun 2007.

Lawatan sambil kerja ini bertujuan memberikan pendedahan berkenaan isu-isu penterjemahan masa kini yang dibincangkan di peringkat antarabangsa, khususnya. Selain itu, pelbagai input dan maklumat tentang pengurusan dan penganjuran forum penterjemahan di peringkat antarabangsa dapat dimanfaat oleh peserta sebagai persediaan bagi negara Malaysia yang bakal menjadi tuan rumah AFT ke-7 pada tahun 2013.

Tema utama AFT ke-6 2010 ialah Penterjemahan dan Komunikasi Antarabudaya: Masa Lalu, Kini dan Masa Depan (Translation and Intercultural Communication: Past, Present and Future). Forum merupakan anjuran bersama Persatuan Penterjemah dan Jurubahasa Macau (Federation of Translators and Interpreters of Macau) dengan University of Macau. Terdapat lapan tema kecil yang dibincangkan mengikut kategori, antaranya “Terjemahan dan Kajian Merentas Budaya”, “Sejarah Penterjemahan dan Budaya di Macau dan Asia”, “Terjemahan Pelancongan dan Terjemahan Media”, dan “Terjemahan Diplomatik/Kejurubahasaan”. sebanyak kira-kira 200 buah kertas kerja dibentangkan dalam lima sesi selari yang diadakan, tidak termasuk sesi ucap utama dan salon.

Sesi Salon I merupakan dialog antara ahli panel Puan Tang Wensheng (kiri) dan Encik Zhu Yinghuang dengan peserta.

Bermula dengan kira-kira 100 orang peserta pada AFT yang pertama diadakan di Beijing,  tahun ini seramai kira-kira 300 penyertaan daripada 22 buah negara dan kawasan di seluruh dunia yang mengambil bahagian. Selepas AFT pertama di Beijing, Forum yang  kedua diadakan di Seoul, Korea Selatan (1998), ketiga di Hong Kong (2001), keempat kembali semula di Beijing (2004), dan yang kelima di Bogor, Indonesia (2007).

Kertas ucap utama disampaikan oleh Encik Huang Youyi, Timbalan Presiden FIT merangkap Naib Pengerusi dan Setiausaha Agung Persatuan Penterjemah China (Translators Association of China-TAC) dengan tajuk “T&I Education and Market Demand for Translation: A Case Study”. Dalam kertas ucap utamanya, antara lain beliau menjelaskan bahawa kemunculan globalisasi ekonomi dalam abad ini membawa kepada perkembangan pesat bidang politik, ekonomi dan budaya. Perubahan dramatik ini turut menyebabkan pertumbuhan pesat syarikat perkhidmatan terjemahan khususnya, dan permintaan terhadap penterjemah dan jurubahasa yang bermutu tinggi. Sebagai respons kepada perubahan dalam pasaran dan keperluan komuniti T&I di China, Kementerian Sumber Manusia dan Keselamatan Sosial negara itu menubuhkan Ujian Akreditasi China bagi Penterjemah dan Jurubahasa (CATTI) sebagai satu sistem penilaian rasmi bagi tenaga profesional T&I.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan China juga memperkenalkan program ijazah dan sarjana dalam bidang penterjemahan dan kejurubahasaan. Translators Association of China adalah satu-satunya organisasi kebangsaan bagi profesion T&I di China, yang terdiri daripada persatuan akademik dan syarikat terjemahan bertujuan memenuhi perubahan dan kehendak industri terjemahan. Persatuan ini menyediakan tenaga profesional dan pekerja T&I seperti syarikat perkhidmatan terjemahan dan latihan profesional T&I pelbagai bidang untuk memenuhi permintaan pekerja profesional T&I pada masa depan.

Prof. Christina Schaffner, Profesor dan Pengarah Kajian Terjemahan, Aston University, United Kingdom turut membentangkan kertas ucap utamanya bertajuk “Translation Competence – Training for the Real World”. Antara lain, beliau turut memperkatakan tentang keperluan globalisasi terhadap interaksi dan pertukaran idea bukan sahaja dalam bidang sains dan teknologi malahan juga dalam bidang sastera dan budaya, kemanusiaan dan sains sosial. Perkembangan ini menyebabkan peningkatan terhadap keperluan penterjemahan termasuk keperluan penterjemah profesional.

Anggota perwakilan AFT bergambar kenang-kenangan bersama-sama Presiden FIT, Marion Boers (barisan hadapan, yang keenam dari kiri).


Menurutnya lagi, walaupun program latihan penterjemah berkembang pesat di seluruh dunia sejak kebelakangan ini, profesion tersebut masih belum teratur dan tiada kriteria kualiti perkhidmatan penterjemahan dan latihan penterjemah yang diperakui. Beliau turut membicarakan tentang bagaimana situasi ini memberi kesan kepada program universiti dalam menyediakan graduan mereka bagi memenuhi keperluan industri terjemahan.

Prof. Dr. Abdullah berucap dalam majlis penutupan AFT ke-6.

Salon yang kedua berjudul “Research and Publication: A Dialogue between Young Scholars and Professors” melibatkan 10 orang ahli panel daripada universiti di seluruh dunia termasuk, Indiana University, Lingnan University, Hongkong, Aston University, UK dan University of Macao. Mereka turut membincangkan pelbagai persoalan penterjemahan, terutama yang lebih memfokus pada industri terjemahan dan keperluan terjemahan dalam bidang akademik di universiti.

Forum turut disertai oleh Prof. Martin Montgomery, Kursi Profesor dan Ketua Jabatan Bahasa Inggeris, University of Macau, Dr. Peter Krawutschke, mantan Presiden FIT, Western Michigan University, dan Marion Boers, Presiden FIT.

Pertukaran cenderamata antara Prof. Dr. Abdullah Hassan dengan Prof. Martin Montgomery (kanan).

Upacara penutup AFT diakhiri dengan ucapan Presiden PPM Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan dan tayangan video “Visit Malaysia” sebagai mengalu-alukan kedatangan peserta ke AFT ke-7 pada tahun 2013 di Kuala Lumpur selain upacara pertukaran cenderamata antara wakil delegasi Malaysia dengan wakil FIT.

Bergambar di hadapan kesan tinggalan gereja St. Paul, antara mercu tanda terkenal di Macau semasa sesi lawatan

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034809
    Visit Today : 1025
    This Month : 17408
    Total Visit : 1034809
    Hits Today : 4971
    Total Hits : 4243305
    Who's Online : 12
  • Kategori