Oleh ABDUL HAKAM JAMALUDDIN

Setelah menyambut kemerdekaan negara pada 31 Ogos setiap tahun, terdapat satu lagi tarikh penting dalam menyambut hari kebangsaan rasmi bagi negara. Tarikh yang dimaksudkan itu ialah 16 September. Mengimbau sejarah negara 53 tahun yang lalu, tarikh 16 September adalah teramat penting bagi Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Hal ini kerana keempat-empat wilayah yang terdapat di Asia Tenggara ini telah mencapai kesepakatan untuk membentuk sebuah negara lebih besar dan dikenali sebagai Persekutuan Malaysia. Pembentukan sebuah negara baru ini adalah secara tidak langsung memberi kemerdekaan kepada tiga buah wilayah yang masih menjadi jajahan British di Asia Tenggara iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura.

Hasrat Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dalam mengusahakan gabungan sebuah persekutuan negara baru ini bukanlah mempunyai niat tersembunyi semata-mata ingin menguasai ketiga-tiga wilayah tersebut, tetapi secara tulus hati ingin memberikan kemerdekaan kepada Sabah, Sarawak dan Singapura. Antara perkara utama yang dilihat penting oleh Tunku Abdul Rahman untuk memerdekakan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Persekutuan Malaysia ialah mahu mengelakkan wilayah-wilayah ini jatuh di bawah pengaruh komunis jika dibiarkan bersendirian. Beliau tidak mahu ketiga-ketiga wilayah ini berada di bawah telunjuk komunis.

Jika dikaji dengan lebih mendalam, pada awalnya pihak British telah mengemukakan idea untuk mewujudkan sebuah persekutuan yang besar melibatkan tanah jajahan British selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Projek ini lebih dikenali sebagai Grand Design. Pesuruhjaya Jeneral British di Asia Tenggara iaitu Malcolm MacDonald telah menyatakan hasratnya untuk menyatukan semua jajahan British di Tanah Melayu dan Borneo melalui projek Grand Design ini pada tahun 1949.

Walau bagaimanapun, idea penggabungan semua tanah jajahan British di antara Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Borneo tidak dapat dilaksanakan oleh British sehinggalah hasrat ini ditimbulkan oleh Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961 di Kelab Wartawan, Singapura. Ketika itu Tanah Melayu sudah pun mencapai kemerdekaan. Ucapan Tunku:

Sebagai satu bangsa, Malaya hari ini sedar bahawa dia tidak dapat berdiri sendiri dan hidup bersendirian. Di luar bidang politik antarabangsa, maka politik kebangsaan kita hendaklah didasarkan pada konsep yang luas. Lambat-laun Malaya akan dapat mencari persefahaman dengan British dan dengan rakyat-rakyat di wilayah Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak.

Hasrat Tunku ini ternyata ‘tidak bertepuk sebelah tangan’ dan terus disokong oleh Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura serta pihak British. Dengan itu bermula secara serius usaha ke arah untuk menyatukan keempat-empat wilayah ini. Suatu hal yang tidak dapat dijangka apabila Brunei akhirnya menolak untuk turut serta dalam pembentukan Malaysia.

Walau bagaimanapun, pembentukan Malaysia tidak berjalan dengan mudah seperti yang disangka. Perkara ini disebabkan Tanah Melayu, Singapura dan British mempunyai pendirian yang berbeza walaupun mereka sepakat untuk menubuhkan Malaysia. Terdapat banyak perbincangan dan penelitian yang dibuat oleh ketiga-tiga pihak ini.

Menurut Mohd bin Samsudin dalam bukunya yang bertajuk ‘Persekutuan Malaysia 1961 – 1966: Penubuhan dan Cabaran’, terdapat dua konsep yang diguna pakai dalam proses pembentukan Malaysia yang melibatkan Tanah Melayu – Sabah dan Sarawak dan Tanah Melayu – Singapura. Penyertaan Singapura dalam Malaysia adalah bersifat “Penggabungan” di mana Singapura dikenakan pelbagai syarat yang ketat seperti taraf kerakyatan terhad, kadar cukai dan peruntukan kerusi parlimen yang sedikit dalam Parlimen Malaysia. Manakala untuk Sabah dan Sarawak, penyertaan kedua-dua wilayah ini dalam Malaysia adalah bersifat “Penyatuan”. Konsep ini merujuk hasrat Tunku Abdul Rahman yang mahu Sabah dan Sarawak diberi taraf keahlian yang sama seperti mana negeri-negeri lain yang terdapat dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Pada awalnya kerajaan British mahukan penubuhan Malaysia hanya melibatkan Tanah Melayu dan Singapura tanpa disertai oleh Sabah dan Sarawak. Namun dengan tegas Tunku Abdul Rahman tidak bersetuju dengan idea ini. Tunku mahu penubuhan Malaysia dimasukkan sekali Sabah dan Sarawak. Jika kerajaan British tidak bersetuju dengan cadangan ini, maka Tunku sedia untuk membatalkan hasrat penubuhan Malaysia. Antara alasan digunakan Tunku supaya Sabah dan Sarawak turut dilibatkan dalam pembentukan ini adalah kerana mahu mengimbangi komposisi kaum. Faktor ini disebabkan penduduk Singapura majoritinya adalah orang Cina dan jika penubuhan Malaysia hanya melibatkan Tanah Melayu dan Singapura, keadaan ini akan menyebabkan komposisi kaum dalam Malaysia nanti tidak seimbang dan jumlah orang Cina akan melebihi orang Melayu.

Sebelum mencapai keputusan muktamad dalam meneruskan pembentukan Malaysia, pandangan dan keputusan penduduk Singapura, Sabah dan Sarawak amat diperlukan dan penting. Di Singapura, Lee Kuan Yew telah mengadakan pungutan suara manakala di Sabah dan Sarawak Suruhanjaya Cobbold telah diwujudkan. Namun begitu Indonesia dan Filipina tidak dapat menerima laporan Suruhanjaya Cobbold ini yang menyatakan sebahagian besar penduduk Sabah dan Sarawak mahu menyertai penubuhan Malaysia. Manakala tindakan susulan telah diambil oleh Tanah Melayu dengan meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menghantar rombongan kerja untuk membuat tinjauan sekali lagi ke atas penduduk Sabah dan Sarawak. Tindakan ini dipersetujui oleh Indonesia dan Filipina.

Pada awalnya tarikh pembentukan Malaysia dijangka berlangsung pada 31 Ogos 1963. Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan British telah bersepakat menerima tarikh ini dengan mengikat satu perjanjian di London pada 9 Julai 1963. Walau bagaimanapun, atas kelewatan rombongan kerja PBB menyiapkan laporan tinjauan mereka, tarikh pembentukan Malaysia terpaksa ditunda dari 31 Ogos 1963 ke 16 September 1963. Perjanjian pindaan tarikh pembentukan Malaysia telah dibuat pada 28 Ogos 1963 di Singapura.

Akhirnya menjelang 16 September 1963, pembentukan Malaysia dapat direalisasikan apabila Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak dapat disatukan sekali gus membebaskan dan memerdekakan ketiga-tiga wilayah ini daripada penjajahan British. Namun begitu perjalanan sebuah negara baru ini bukanlah mudah seperti yang disangka kerana masih lagi terdapat halangan yang perlu dilalui. Kerajaan dan rakyat negara ini terpaksa berhadapan dengan konfrontasi yang dilancarkan oleh kerajaan pimpinan Sukarno di Indonesia yang mahu menggagalkan penubuhan Malaysia. Pada masa yang sama juga telah berlaku krisis dalaman melibatkan dua buah kerajaan iaitu di antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kerajaan Singapura. Krisis ini berpunca daripada perbezaan ideologi, politik dan cita-cita di antara kedua-dua pihak sehinggakan satu keputusan besar perlu diambil dengan menyingkirkan Singapura daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Maka sejak tarikh itu negara Malaysia terdiri daripada tiga buah wilayah iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Sumber gambar: Arkib Negara Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044178
    Visit Today : 599
    This Month : 26777
    Total Visit : 1044178
    Hits Today : 1674
    Total Hits : 4286647
    Who's Online : 57
  • Kategori